GUA MUSANG: Kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) bagi mendengar keluhan mereka berkaitan masyarakat Orang Asli.
Sebelum ini, NGO terbabit difahamkan rapat dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang memperjuangkan isu tanah adat di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, beliau berbesar hati di atas kesediaan pemimpin NGO terbabit mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dan pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Katanya, penerimaan pihak terbabit untuk ‘jjemok kiro’ (berbincang) dengan pimpinan kerajaan negeri bagi mendengar hasrat Orang Asli di negeri ini.
“Perjuangan mereka terhadap isu kebajikan Orang Asli cukup menyentuh jiwa saya kerana kesusahan dan keperitan yang sudah lama berakar umbi di pedalaman.
“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan Pusat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi Orang Asli,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Hadir sama pada perjumpaan tersebut anggota Exco Kerajaan Negeri, Zamashkhari Muhamad, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudddin, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.
Manakala JKOAK diwakili Nasir Dollah dan Mustafa Along. Hadir sama anak-anak muda Orang Asli.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kekesalan penduduk Orang Asli sejak lebih 60 tahun lalu tidak mampu diselesaikan wakil rakyat yang mereka undi.
“Insya-Allah, Orang Asli akan memberi isyarat yang jelas mereka tidak akan tertipu lagi dengan janji manis yang ditabur pihak sebelah sana.
“Terima kasih sahabat kita Nasir Dollah dan Mustafa Along atas keberanian menyuarakan hajat dan hasrat penduduk Orang Asli, insya-Allah kerajaan negeri akan bantu sebaik mungkin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2024