PADA awal pagi Jumaat lalu (2 Ogos 2024), saya bersama Yang Berhormat (YB) Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, YB Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tiba di Doha, Qatar, mewakili PAS dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadiri upacara pengebumian As-syahid Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas.
Allahyarham bersama pengawal peribadinya As-syahid Wasim Abu Shaaban telah terkorban dipercayai menjadi sasaran serangan roket yang menyasarkan rumah penginapannya di Tehran, Iran selepas selesai menghadiri upacara angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.
Selepas solat jenazah, kami menghadiri majlis takziah oleh Hamas untuk para tetamu dari dalam dan luar Qatar. Dalam majlis tersebut, saya diberi peluang untuk membaca ucapan takziah daripada Tuan Guru Presiden PAS , Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang kepada tetamu yang hadir.
Ribuan umat Islam dari seluruh dunia termasuk pemimpin negara Dunia Islam memenuhi ruang Masjid Imam Muhammad Ibnu Abd Al-Wahab di Doha, Qatar pada pagi hari Jumaat bagi menunaikan solat jenazah ke atas As-syahid Ismail Haniyeh yang kemudiannya dikebumikan di Makam Diraja Lusail yang terletak di utara Doha.
Sejurus selesai menghadiri upacara pengebumian As-Syahid Syekh Ismail Haniyeh, saya bersama rombongan turut berpeluang berkunjung ke ibu pejabat Kesatuan Ulama Sedunia (KUIS) dan menemui Presiden KUIS, Profesor Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradhaghi.
Di ibu pejabat KUIS juga, kami turut berpeluang menemui dan beramah mesra dengan bekas Perdana Menteri Turkiye, Ahmed Davutoğlu dan bekas muraqib Ikhwanul Muslimin Jordan, Syeikh Hammam Said. Kunjungan ini dipenuhi dengan perbincangan dan bertukar buah fikiran khususnya keadaan yang sedang melanda Dunia Islam terutamanya apa yang sedang berlaku di Palestin ketika ini.
Sehingga ke hari ini tidak pihak mengaku bertanggungjawab di atas kejadian yang amat menyayat hati ini yang telah mengorbankan seorang tokoh ulung yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam misi membebaskan bumi Al- Quds namun berdasarkan keadaan semasa, tentunya ramai yang maklum siapa di sebalik semua ini.
Menurut laporan siasatan badan perisikan Iran, serangan roket tersebut didalangi oleh rejim Zionis Israel dengan bantuan serta kordinasi daripada sekutu kuatnya dari Barat yang dipercayai tujuannya adalah untuk melemah dan melumpuhkan semangat juang kumpulan pejuang Palestin yang sedang bertarung nyawa berhadapan dengan serangan ganas tentera regim Zionis Israel di Semenanjung Gaza.
Namun pada pandangan ramai tokoh geopolitik antarabangsa, Zionis Israel telah melakukan kesilapan besar. Ia sebenarnya langsung tidak memadam dan melemahkan semangat juang rakyat Palestin, malah makin menguatkannya lagi serta melipat gandakan sokongan ke atas pembebasan bumi Palestin.
Hilang seorang Ismail Haniyeh, akan lahir lagi ratusan Ismail Haniyeh yang akan meneruskan perjuangan membebaskan bumi Palestin dari cengkaman penjajahan Zionis Israel. Insya-Allah, tidak lama lagi akan terhapuslah negara haram Israel daripada peta dunia.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmatnya ke atas mereka (As-syahid Ismail Haniyeh dan Wasim Abu Shaaban), dikurniakan ganjaran syahid disisiNya serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. – HARAKAHDAILY 11/8/2024