GUA MUSANG: Isu pemilikan tanah rakyat diselesaikan kerajaan negeri sejak era pentadbiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi.
Bagaimana pun disebabkan banyak karenah agensi pembangunan di bawah kerajaan Pusat menyebabkan pemilikan tanah rakyat masih lambat diselesaikan.
ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, agensi kerajaan Pusat termasuk Kesedar menggunakan isu tanah untuk menekan penduduk dan peneroka.
“Perkara itu turut didedahkan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud ketika menziarahi mangsa kebakaran di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Jeram Tekoh semalam,” katanya di sini.
Pada lawatan itu Menteri Besar menziarahi mangsa kebakaran di mana rumahnya ranap dijilat api Khamis lepas. (Foto atas)
Hadir sama pada lawatan itu anggota Exco Kerajaan Negeri Rohani Ibrahim, Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang, Fazli Zin dan pemimpin tempatan.
Penghuni rumah terbabit sekarang menumpang sementara di rumah keluarga. Sumbangan turut disampaikan kepada mangsa kebakaran berkenaan.
Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua kerajaan bagi menyelami masalah dihadapi rakyat.
“Saya telah menghubungi Pejabat Pembangunan Negeri berkaitan dengan kejadian rumah terbakar di Jeram Tekoh.
“Kita jaga kebajikan rakyat bukan hanya musim pilihan raya sahaja,” ujarnya.
Mangsa kebakaran terbabit turut diziarahi calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Mohd Rizwadi Ismail sejurus kejadian pada Khamis lepas. – HARAKAHDAILY 11/8/2024