MANUSIA terbahagi kepada tiga golongan. Golongan yang pertama ialah orang beriman, golongan yang kedua ialah orang kafir dan golongan yang ketiga ialah orang munafik.
Orang yang bertakwa ialah orang beriman yang percaya kepada perkara ghaib. Contoh perkara ghaib yang tidak dapat dicapai oleh indera manusia ialah Allah, malaikat dan jin.
Jin merupakan makhluk ghaib walaupun sekali-kala ia muncul dalam pelbagai bentuk. Kadang-kadang, ia boleh menjelma dan menunjukkan rupanya. Oleh sebab itu, orang akan mengalami histeria apabila melihatnya.
Jin boleh juga menjelma dalam bentuk lain seperti ular. Apabila terjumpa ular di dalam rumah, jangan cepat membunuhnya. Suruhlah ia keluar terlebih dahulu. Kalau ia bergerak keluar, sah itu adalah jin yang menjelma. Kalau tidak, itu adalah ular.
Hal ini berdasarkan kisah yang berlaku pada zaman Nabi di mana seseorang tidak sengaja membunuh ular yang ditemui di dalam rumahnya kerana dia mengira bahawa itu adalah ular yang sebenar. Ternyata itu adalah jin (Rujuk Riwayat Imam Muslim: 2236).
Jin juga boleh menjelma dalam bentuk anjing hitam. Kebiasaannya, ia menjelma ketika waktu Maghrib. Orang tua-tua dahulu selalu berpesan, begitu juga dengan Nabi, tutuplah pintu dan jendela dan jangan membiarkan anak-anak kecil bermain di luar rumah ketika waktu Maghrib. Sebab jin berkeliaran pada masa itu.
Nabi juga berpesan agar menutup pelita ketika hendak tidur sebab bimbang ia terbalik yang boleh menyebabkan kebakaran. Keduanya, Nabi berpesan agar menutup makanan dan minuman. Jangan membiarkannya terdedah (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 5623 dan Imam Muslim: 2021).
Paling kurang, ambillah senduk atau sebatang lidi dan lintangkannya di atas periuk atau bekas tersebut. Cara ini dapat melindungi makanan kita daripada dikencing oleh jin atau dicemari oleh tikus.
Malaikat pula kebiasaannya tidak menjelma kecuali dalam keadaan tertentu. Contohnya, ia menjelma di dalam Perang Badar. Orang Islam hanya sedikit iaitu 313 orang sahaja menurut pandangan yang masyhur manakala orang kafir adalah seramai 1,000 orang. Kelengkapan orang Islam pula tidaklah cukup sebab mereka bukannya askar yang terlatih. – HARAKAHDAILY 11/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.