GUA MUSANG: Dia akan memimpin laungan takbir setiap kali dia ada di dalam mana-mana majlis atau ceramah PAS apabila sahaja seseorang pemimpin dipanggil untuk berucap di pentas.
Walaupun sebutannya tidak begitu sempurna, namun ia tetap dilaungkan dengan penuh semangat dan laungan itu tetap disambut oleh para hadirin seperti biasa.
Itulah sosok Mujahid Ab Ghani, 33, si ‘anak syurga’ ‘down syndrome delay’ yang mudah dilihat di mana-mana sahaja kawasan berlangsung sama ada ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
Malah keletahnya yang sentiasa ramah dan mesra dengan sesiapa yang ditemuinya itu membuatkan dia sering menjadi tumpuan di mana-mana majlis dia berada.
Mujahid yang merupakan anak kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah, Aziah Mohd Saad akan sentiasa mengikut ke mana sahaja bondanya itu pergi bagaikan ‘pembantu peribadi’.
Aziah, ketika ditemui Harakahdaily sewaktu membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.43 DUN Nenggiri baru-baru ini berkata, Mujahid tidak akan membenarkannya keluar rumah bersendirian tanpa ditemani dirinya.
“Kalau saya kata saya nak pergi program, kemudian dia kata penat. Bila saya kata dia tinggal rumah, saya pergi seorang, dia akan kata-kata _‘no-no-no’_. Dia mesti kena teman kalau saya keluar,” katanya.
Jelas Aziah, Mujahid memang sentiasa tidak sabar untuk bertugas di mana-mana pilihan raya yang diadakan.
“Dia memang akan sangat seronok untuk bantu pilihan raya. Kali pertama dia terlibat secara aktif dalam pilihan raya masa PRU13 pada tahun 2013. Waktu tu dia bantu calon kita Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman.
“Masa tu saya masih bekerja. Jadi setiap hari saya akan tinggalkan dia di surau Ustaz Imran sebagai pangkalan waktu tu. Jadi dia akan ikut Ustaz Imran pergi kempen sana sini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui di Unit Daerah Mengundi (UDM) Serian, pada PRK Nenggiri, di sini, yang hadir sebagai jentera bantu PAS Negeri Melaka baru-baru ini.
Jelasnya, Mujahid tidak segan-segan bertemu orang ramai sewaktu kempen untuk mengedarkan risalah-risalah kempen, malah orang ramai juga melayannya dengan baik dan mengambil risalah yang diedarnya.
Allahyarham ayah Mujahid pula adalah pendakwah bebas terkenal sebelum aktif menjadi tokoh pimpinan PAS iaitu Allahyarham Ustaz Ab Ghani Abdul Rahman.
Allahyarham juga pernah memimpin PAS Melaka sebagai Pesuruhjaya dan menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat selama beberapa penggal.
Jelas Aziah, Allahyarham suaminya itu pergi buat selamanya pada tahun 2014 akibat sakit buah pinggang ketika Mujahid yang merupakan anak kedua daripada empat adik beradik itu berusia 23 tahun.
Kata Aziah, penyakit dihidap Mujahid menjadikan pemikirannya separuh dari umur fizikalnya iaitu sekiranya umurnya adalah 20 tahun, tahap pemikirannya adalah seperti kanak-kanak berumur 10 tahun.
“Sekarang ini walaupun dalam keadaannya begitu dia boleh memahami perkara-perkara yang serius. Dia boleh berbual mengenai politik secara serius, cuma orang tidak faham sangat apa yang dia cakap.
“Mungkin sebab dia dipasakkan hari-hari dengan isu dan cerita politik maka dia boleh faham politik dan gerak kerja pilihan raya ini,” katanya.
Beliau turut berkongsi bagaimana beliau pernah mendapat surat layang dari orang yang tidak dikenali meminta agar beliau tidak membawa Mujahid ke program-program yang melibatkan orang ramai dan membiarkan saja dia tinggal di rumah.
Namun, Aziah yang juga merupakan pesara guru yang mengkhusus pada bidang ‘Pendidikan Khas’ berkata, anak-anak seperti itu sebaliknya perlu didedahkan kepada orang ramai.
Ini, katanya, agar mereka boleh meningkatkan kemampuan berkomunikasi selain untuk memahirkan mereka berhubung dengan orang lain sekali gus meningkatkan keyakinan diri mereka.
Kata Aziah, di rumahnya di Kuala Lumpur, Mujahid mempunyai ‘kawan-kawan’ antaranya ialah golongan ‘pakcik-pakcik’ yang sudah bersara yang kerap ke surau dan juga golongan muda yang bekerja.
“Kawan-kawan (pakcik-pakcik) tu kalau lama tak nampak Mujahid dekat surau mereka akan kata ‘mana Mujahid’, ‘rindu Mujahid’.
“Bila petang-petang waktu orang balik kerja dia akan minta kebenaran keluar untuk minum di kedai bersama-sama dengan kawan-kawan dia yang muda-muda yang baru balik kerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!