KUALA TERENGGANU: “Amat memilukan saat menyaksikan gambar ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Beliau menyatakan perkara itu dengan merujuk kepada foto Dato’ Azizulhasni Awang ditenangkan oleh ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley setelah penyertaannya pada pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024, semalam dibatalkan.
Menurutnya, sangat bersungguh jaguh berbasikal trek negara untuk menghadiahkan emas buat Malaysia.
Menerusi catatan di laman sosialnya, Hishamuddin berkata pengorbanan Azizulhasni dalam mengharungi cabaran tidak sedikit.
“Imbaslah kembali saat beliau tertusuk kayu di kaki sewaktu pertandingan dan saat mendepani rawatan jantung sebelum ini.
“Semoga terus kuat Dato’. Jasa dan sumbangan buat negara sebelum ini amat dihargai,” ujarnya yang juga ADUN Tepuh.
Dalam pada itu, Azizulhasni menjelaskan keadaan sebenar yang menyebabkan beliau tersingkir seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin itu menerusi laman sosial miliknya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua dapat memberikan sokongan dan doa kepada rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menggalas tanggungjawab dan harapan baru untuk membawa pulang pingat emas untuk kontinjen Malaysia.
“Saya percaya Shah Firdaus mampu melakukannya,” katanya.
Muhammad Shah Firdaus telah mengesahkan slot ke suku akhir setelah mengungguli pusingan ‘repechages’ malam tadi.
Peringkat suku akhir acara keirin lelaki dijadualkan bermula jam 5.29 petang ini. – HARAKAHDAILY 11/8/2024