Terima kasih pasukan mencari, menyelamat mangsa lemas

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat Abdullah Abdul Mubin, 44, (foto atas) berhampiran Taman Tamadun Islam (TTI), di sini.

- Advertisement -

Sekitar jam 9.15 pagi tadi, beliau berada di TTI dan mendapat berita jenazah pelumba jet ski itu yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh di Sungai Terengganu, pagi semalam ditemukan pagi tadi.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau berkata jenazah telah diturunkan di jeti pelancong sebelum dibawa ke hospital.

Atas permintaan ahli keluarga yang berada di khemah pasukan penyelamat, beliau meminta jeep yang membawa jenazah untuk singgah sebentar di khemah tersebut untuk dilihat oleh ahli keluarga yang uzur.

“Namun, mereka tidak dapat melihat jenazah yang berada dalam beg mayat kerana prosedur tidak membenarkan beg mayat itu dibuka,” katanya.

Pihak keluarga arwah mengucapkan terima kasih kepada beliau yang sejak semalam sentiasa mengikuti perkembangan misi mencari dan menyelamat arwah serta menyediakan bekalan makanan dan minuman kepada mereka dan seluruh petugas yang terlibat. (Foto bawah)

Beliau mewakili seluruh rakyat Kuala Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis, Angkatan Pertahan Awam Malaysia, Rela dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam misi mencari dan menyelamat mangsa.

“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diampuni dosa dipermudahkan segala urusan,” ujarnya.

Sementara itu, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa ditemukan terapung di permukaan air kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi pencarian mangsa yang melibatkan 87 pegawai dan anggota pelbagai agensi penyelamat termasuk orang awam serta dua ekor anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan jam 10 pagi tadi. – HARAKAHDAILY 10/8/2024