LONDON: Raja Charles menyeru orang ramai agar saling menghormati dan memahami antara satu sama lain selepas rusuhan perkauman yang menyasarkan umat Islam dan pendatang di Britain, sekaligus menandakan campur tangan pertama oleh monarki itu sejak pergolakan bermula minggu lalu.
Jurucakap Istana Buckingham berkata, Raja Charles mengucapkan terima kasih kepada polis dan perkhidmatan kecemasan atas usaha mereka untuk memulihkan keamanan dan mengalu-alukan kumpulan masyarakat yang telah menentang ‘pencerobohan’ dan jenayah daripada beberapa individu, lapor Al Arabiya.
“ tetap menjadi harapan Raja Charles agar nilai-nilai saling hormat-menghormati dan persefahaman akan terus mengukuhkan dan menyatupadukan negara,”
kata jurucakap iselepas Raja Charles berhubung melalui telefon dengan Perdana Menteri, Keir Starmer dan ketua polis.
Beribu-ribu pegawai polis dilaporkan akan terus bertugas pada hujung minggu ini sekiranya rusuhan itu bersambung semula selepas tiga hari tempoh bertenang.
Rusuhan sebelum ini tercetus selepas siaran dalam talian secara palsu telah mengenal pasti suspek pembunuh tiga gadis muda dalam serangan pisau pada 29 Julai di Southport, barat laut England, sebagai pendatang Muslim.
Insiden itu telah menyebabkan pihak kerajaan sedang mempertimbangkan peraturan yang lebih ketat untuk syarikat media sosial bagi mengelakkan sebarang siaran dalam talian yang tidak tepat.
Selepas beberapa hari rusuhan yang menyasarkan orang Islam dan hotel yang menempatkan pendatang, Starmer berkata bilangan polis tambahan dan keadilan pantas telah menghalang orang yang disebutnya sebagai ‘samseng berhaluan kanan.’
Untuk hari ketiga berturut-turut, penunjuk perasaan anti-perkauman jauh mengatasi penunjuk perasaan anti-pendatang di beberapa lokasi.
Sementara itu, Emilia Finch, 22, berkata tidak ada sebab mengapa sesiapa pun perlu dilayan dengan cara yang berbeza untuk warna kulit mereka.
“Saya bekerja dengan orang yang berbeza asal usul dan mereka hanya bersikap baik kepada saya, kita semua adalah sama,” katanya di luar sebuah hotel di Crawley, selatan England, lokasi di mana pencari suaka ditempatkan. – HARAKAHDAILY 10/8/2024