KUALA TERENGGANU: Prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu menjadi bahan politik bagi pihak yang ingin bermain politik tanpa melihat kepada data sebenar dengan telus dan teliti.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dalam tempoh enam tahun ini, KDNK Terengganu menunjukkan trend menaik iaitu 2.5 peratus pada tahun 2018, 3.3 peratus (2019), 3.6 peratus (2021) 5.9 peratus (2022).
Katanya, KDNK Terengganu bagi tahun 2023 berjumlah RM38.2 bilion berbanding RM37.4 bilion pada tahun 2022 dengan peningkatan sebanyak 2.3 peratus.
“Penguncupan sebanyak 5.7 peratus pada 2020 adalah impak pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi dunia keseluruhannya,” ujarnya menerusi catatan di Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, peningkatan KDNK Terengganu bagi tahun 2021 dan 2022 berada di atas daripada paras nasional.
Sebelum ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada aspek komposisi ekonomi di negeri ini, sektor perkhidmatan mendominasi.
Sektor itu menyumbang 52 peratus daripada aktiviti ekonomi negeri sementara sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua terbesar dengan 36.9 peratus, diikuti sektor pertanian 7.5 peratus.
Sektor pertanian pula menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, berkembang 7.4 peratus dengan nilai ditambah RM2.9 bilion.
Pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit.
Selain itu, subsektor perikanan turut melonjak 21.3 peratus berbanding tahun sebelumnya (11.5 peratus). – HARAKAHDAILY 10/8/2024