KUALA LUMPUR: Bertemakan ‘Experience Kedah’, kerajaan negeri telah melancarkan ‘Tahun Melawat Kedah 2025’ dalam acara yang penuh gilang-gemilang dan warna-warni malam tadi dalam merancakkan sektor pelancongan negeri berkenaan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, negeri Kedah pada suatu ketika dahulu adalah merupakan sebuah pemerintahan yang hebat dan pernah menempa sebagai negara maju terulung di dunia.
“Tamadun Kedah adalan tamadun tertua Asia Tenggara, dan mula terkenal sebagai pengeluar besi sejak tahun 788 sebelum Masihi.
“Demikianlah hebatnya Kedah yang belum anda lawati,” katanya sewaktu merasmikan majlis berkenaan.
Antara yang turut hadir dalam majlis pelancaran berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan selingan daripada Kumpulan Wayang Kulit Padang Asun, Seni Silat Cekak Malaysia serta Persatuan Produk Bakat dan Seni yang mempersembahkan tarian ‘Ayam Didik’ dan ‘Cinta Sayang’.
Sanusi dalam pada itu berkata, beliau mempelawa pemain-pemain industri dan para pelabur untuk datang ke Kedah bagi menilai potensi yang ada berdasarkan kekayaan serta tarikan yang ada di negeri berkenaan.
“Terpulanglah sama ada kecil atau besar perniagaan berasaskan pelancongan yang anda sedang rancang atau sedang anda laksanakan, anda dipelawa untuk berhubung dan berbincang.
“Kami tadah seluas-luas tangan untuk sambut seluruh rakyat Malaysia, di mana juga anda berada untuk datang ke Kedah pada 2025,” katanya.
Hadirin yang hadir di majlis berkenaan turut diperkenalkan dengan lagu rasmi ‘Experience Kedah’ yang didendangkan oleh penyanyi, Kasih Lia Bishara.
Gimik pelancaran dan persembahan bunga api selama hampir tiga minit turut menceriakan dan menggegarkan ruang udara ibu negara sebelum majlis secara rasminya tamat. – HARAKAHDAILY 10/8/2024