SAO PAULO: Sebuah pesawat yang membawa 58 penumpang dan empat anak kapal terhempas pada Jumaat mengorbankan kesemua yang berada di dalamnya.
Pesawat ATR 72-500 buatan Perancis yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Voepass itu sedang dalam perjalanan dari Cascavel di selatan negeri Parana, menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos Sao Paulo sebelum ia terhempas di bandar Vinhedo, lapor Al Arabiya.
Imej yang disiarkan di media tempatan menunjukkan sebuah pesawat besar ‘menunduk’ pada kelajuan tinggi, manakala imej lain pula menampakkan kepulan asap yang besar dari lokasi nahas di kawasan yang kelihatan seperti kawasan perumahan.
Sebelum angka kematian rasmi diumumkan, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva berkata di dalam satu majlis bahawa tiada mangsa yang terselamat.
“Sebuah pesawat baru sahaja terhempas di bandar Vinhedo di Sao Paulo, dengan 58 penumpang dan empat anak kapal dan nampaknya semua orang maut,” katanya di tengah-tengah ucapan di Itajai, negeri Santa Catarina.
Agensi berita tempatan, Voepass pula melaporkan kemalangan itu melibatkan penerbangan 2283, namun masih belum ada pengesahan bagaimana kemalangan itu berlaku.
Dalam pada itu, penduduk yang tinggal berdekatan lokasi nahas itu, Nathalie Cicari berkata, impak daripada pesawat yang terhempas itu sangat ‘menakutkan.’
“Saya sedang makan tengah hari, saya mendengar bunyi yang sangat kuat dan sangat dekat,” katanya, menggambarkan bunyi itu seperti dron tetapi ‘lebih kuat.’
“Saya keluar ke balkoni dan melihat pesawat itu berpusing. Dalam beberapa saat, saya menyedari bahawa ia bukan pergerakan biasa untuk pesawat,” ujarnya.
Dia bagaimanapun tidak mengalamai sebarang kecederaan tetapi terpaksa mengosongkan rumahnya yang dipenuhi asap hitam akibat kemalangan itu.
Pasukan bomba, polis tentera dan pertahanan awam negeri kemudiannya telah dikerahkan di kejiranan Capela, lokasi di mana Cicari tinggal.-Agensi/ – HARAKAHDAILY 10/8/2024