AS salur puluhan bilion dolar bantuan ketenteraan Ukraine, Israel

John Kirby. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengumumkan AS$125 juta (RM553 juta) bantuan ketenteraan baharu untuk Kyiv, ketika tentera Ukraine meneruskan serangan mengejut di dalam wilayah Rusia.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby berkata, pakej bantuan itu menggariskan komitmen pihaknya yang tidak berbelah bahagi kepada Ukraine ketika mereka terus bertempur melawan pencerobohan Rusia, lapor Reuters.

- Advertisement -

“Amerika Syarikat berhubung dengan rakan sejawatan kami dari Ukraine, dan kami sedang berusaha untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang apa yang mereka lakukan, apakah matlamat mereka, apakah strategi mereka,” katanya.

Pengumuman bantuan terbaharu itu dibuat ketika tentera Kyiv melancarkan serangan ke wilayah Kursk di barat Rusia, serangan mengejut yang merupakan serangan paling ketara ke atas tanah Rusia sejak Moscow melancarkan serangan ke atas jirannya itu.

Amerika Syarikat telah menjadi penyokong utama ketenteraan Ukraine, memberikan bantuan lebih daripada AS$55 bilion (RM243 bilion) dalam senjata, peluru dan bantuan keselamatan lain sejak konflik berskala penuh itu berlaku pada Februari 2022.

Tidak cukup dengan itu, negara yang sering dianggap sebagai kuasa besar itu dilaporkan turut bersedia untuk menyediakan Zionis Israel AS$3.5 bilion (RM15 bilion) untuk dibelanjakan bagi senjata dan peralatan ketenteraan AS, beberapa bulan selepas ia diperuntukkan oleh Kongres negara berkenaan.

Jabatan Negara memaklumkan penggubal undang-undang pada Khamis bahawa kerajaan berhasrat untuk melepaskan pembiayaan tentera asing bernilai berbilion dolar itu kepada Zionis Israel.

Tindakan itu dilakukan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Timur Tengah dan kebimbangan yang semakin meluas terhadap perang Israel di Gaza yang telah membunuh puluhan ribu dan menyebabkan krisis kemanusiaan.

Terdapat peningkatan risiko peningkatan perang di Timur Tengah yang lebih meluas selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Iran dan komander tentera Hizbullah, Fuad Shukr di Beirut baru-baru ini yang menimbulkan ancaman tindakan balas terhadap Israel. – HARAKAHDAILY 10/8/2024

- Advertisement -