‘Semoga benih ikan yang dilepaskan terus membiak’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Semoga benih ikan yang dilepaskan tadi terus membiak serta memberi manfaat kepada nelayan darat di sini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Ustaz Maliaman Kassim.

- Advertisement -

Beliau menerusi laman sosialnya menyatakan demikian susulan mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr Azman Ibrahim dalam program pelepasan 18,600 benih ikan daripada Jabatan Perikanan negeri di Sungai Dusun, Telemong, Hulu Terengganu, semalam.

Sementara itu, memetik laporan portal TRDI.my, beliau berkata jumlah benih ikan yang dilepaskan terdiri daripada ikan baung 3,500 ekor, lampam sungai (15,000 ekor) manakala kelah (100).

Katanya, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan stok ikan bagi menjamin bekalan protein dari sumber ikan sentiasa mencukupi kepada rakyat.

Selain itu, ujarnya menjadi tarikan baru pelancongan kepada golongan kaki pancing untuk mengunjungi kawasan Kampung Dusun dan kampung-kampung lain yang terdapat di sepanjang jajaran sungai itu.

“Inisiatif tersebut turut memberi impak dan manfaat kepada nelayan dan golongan sasar yang terdiri daripada masyarakat luar bandar, pulau serta pedalaman bagi mendapatkan sumber protein murah dan meningkatkan pendapatan juga sosioekonomi,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas program berkenaan.

Beliau yang juga ADUN Ajil berharap program tersebut dapat terus melestarikan sumber perikanan sungai dalam memenuhi ruang sebagai salah satu sumber ekonomi bagi nelayan darat di samping dapat memulihara ekosistem. – HARAKAHDAILY 9/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!