GUA MUSANG: Srikandi Bersatu Malaysia berharap anak perantau DUN Nenggiri yang bekerja di luar Kelantan merebut kesempatan pulang mengundi pada 17 Ogos ini.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pengundi dalam kalangan anak perantau yang bekerja di luar hendaklah pulang untuk menunaikan tanggungawab mereka sebagai pemilih.
“Ingat, undi kita sebagai penentu kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi mempertahankan DUN tersebut.
“Undi kita boleh merubah pentadbiran negara pada masa akan datang. Marilah kita bersama menghentikan derita rakyat terutama membabitkan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang,” katanya di sini.
Menurutnya juga pihak lawan memainkan pelbagai isu termasuk mahu menggambarkan buruknya Bersatu serta PN.
Sedangkan hakikatnya, kata beliau keunikan PN seumpama satu keluarga dengan menggabungkan lambang PAS dan PN pada pilihan raya yang diadakan sebelum ini.
“Kita boleh menggunakan pelbagai kaedah yang menggambarkan kesepakatan PN, kalau di Kelantan dan Terengganu lambang bulan digunakan di kertas undi, manakala di negeri lain lambang PN,” ujarnya.
Kata beliau juga kesepakatan juga dapat dilihat apabila pemimpin PAS, Bersatu dan Gerakan bersilih ganti turun padang membantu calon PN, Mohd Rizwadi Ismail. – HARAKAHDAILY 9/8/2024