MAKHACHKALA: Seorang juara catur dari Rusia telah digantung daripada bertanding selepas perbuatan kotornya dirakam dan didakwa mengganggu bahagian permainan pesaingnya serta mencemarkan papan catur dengan bahan merkuri.
Persekutuan Catur Rusia (CFR) pada Rabu mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Amina Abarakova cuba meracuni peserta lain di Kejohanan Republik Dagestan, di sini pada 2 Ogos lalu, lapor Global News.
Abarakova, 43, yang pernah memenangi kejohanan catur Dagestan sebelum ini telah digantung sementara daripada bertanding.
Jika didapati bersalah dalam penyiasatan jenayah, CFR berkata beliau akan menghadapi hukuman ‘sekeras mungkin’ iaitu kehilangan kelayakan bertanding seumur hidup.
Selain itu, beliau turut berdepan risiko kemungkinan menghadapi tuduhan jenayah di atas perbuatannya itu.
Kenyataan yang dikeluarkan CFR itu termasuk merujuk kepada rakaman kamera pengawasan mengenai dakwaan insiden keracunan yang diperoleh daripada sebuah saluran Telegram berbahasa Rusia.
Dalam video berdurasi 35 saat itu, seorang wanita yang menyerupai Abarakova dilihat berjalan melalui bilik meja yang telah ditetapkan dengan papan catur, sebelum menghampiri satu meja di tepi bilik dan mengeluarkan sesuatu dari beg peribadinya.
Wanita itu seterusnya dilihat memandang ke atas bahunya sekali, kemudian kelihatan menumpahkan sesuatu ke atas papan catur sebelum berlalu pergi.
Pada hari kejohanan sebenar itu juga, pesaing Abarakova, Umaiganat Osmanova dilaporkan telah jatuh sakit.
Osmanova kemudiannya memberitahu akhbar Rusia bahawa dia terpaksa ‘bernafas dalam-dalam’ dan tidak mendapat udara yang mencukupi ketika duduk di hadapan papan catur, dan menggambarkan melihat beberapa ‘bola kecil’ di sekeliling papan permainan, tetapi pada mulanya tidak menyedari bahan merkuri itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/8/2024