Lebih 40 PPS diwarta di Kuala Krai hadapi banjir

- Advertisement -

KUALA KRAI: Lebih 40 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) telah diwartakan di daerah ini bagi menempatkan penduduk yang berpindah sekiranya berlaku banjir akhir tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pewartaan PPS tersebut bagi memudahkan pengurusan mangsa banjir, khususnya ketika menyampaikan bantuan kepada mereka.

Katanya, pengalaman banjir Bah Kuning 2014 melanda Kuala Krai memberi pendoman bagaimana untuk menguruskan bencana sedemikian kiranya berlaku lagi.

“Laporan Metrologi menyatakan hujan yang turun pada tahun ini di Kelantan hanya sekitar 20 peratus daripada purata jumlah hujan yang dicatat setiap tahun.

“Dijangka pada November ini sehingga Januari tahun hadapan akan berlakukannya hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir besar,” katanya. ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 104 penerima termasuk pelajar yang berjaya memasuki Institusi Pengajian Awam serta Swasta, Skim Kifaalah dan Az-Ziwaaj. (Foto atas)

Majlis berkenaan diadakan di Dewan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Sungai Durian, dekat sini petang semalam.

Hilmi yang juga Adun Guchil berkata, pihaknya melakukan latihan berkala dengan semua agensi kerajaan seperti simulasi menyelamat, pemanduan bot bersama dengan Bomba, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi.

“Kita mengambil maklum pengalaman orang lama berlaku banjir besar setiap 10 tahun sebagai penduan dan langkah berjaga-jaga untuk persediaan.

“Bagaimanapun kita berharap rakyat Kelantan sentiasa mendoakan semoga banjir tahun ini hanya pada kadar biasa,” ujarnya.

Untuk rekod, 20 tahun kebelakangan ini, Kelantan sering dilanda banjir besar iaitu pada tahun 2004 dan 2014 yang dikenali sebagai ‘bah kuning. – HARAKAHDAILY 9/8/2024