Kemalangan maut banyak membabitkan motosikal

Hilmi Abdullah dan Mohd Misuari Abdullah (kiri) bersama pelajar sekolah yang menerima topi keledar pada Program Inisiatif Penukaran dan Pemberian Topi Kaledar Kanak-Kanak Dan Dewasa Tahun 2024 di Kuala Krai, semalam.
- Advertisement -

KUALA KRAI: Sebanyak 599,967 kes kemalangan jalan raya telah berlaku sepanjang tahun lepas di seluruh negara dengan purata kemalangan sebanyak 1,644 kes kemalangan sehari.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, kemalangan berkenaan mengakibatkan 6,473 telah meninggal dunia, dengan peningkatan 393 nyawa berbanding tahun 2022.

Menurutnya, jumlah kemalangan yang mengakibatkan kematian itu begitu membimbangkan, malah dijangka kes berkenaan akan meningkat tahun ini.

“Daripada jumlah kemalangan tersebut, sebanyak 4,489 atau 69 peratus kematian di jalan raya yang dicatatkan tahun lepas membabitkan motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Inisiatif Penukaran dan Pemberian Topi Kaledar Kanak-Kanak Dan Dewasa Tahun 2024 di sini, semalam.

Program berkenaan anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah.

Misuari seterusnya memberitahu, statistik tahun ini (Januari hingga Mei) menunjukkan sebanyak 267,103 kemalangan jalan raya telah dilaporkan berlaku membabitkan 2,742 kematian di tempat kejadian.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,908 orang daripada pengguna motosikal.

“Bagi negeri Kelantan pula, sejumlah 6,088 kes kemalangan telah direkodkan dalam tempoh yang sama membabitkan 137 kematian,” katanya lagi.

Beliau menambah, biarpun undang-undang di jalan raya melalui Akta Pengangkutan Jalan 1987, telah dikuatkuasakan, namun sikap masyarakat masih tidak ambil peduli berhubung keselamatan jalan raya.

Lebih mendukacitakan, katanya ia telah menjadi budaya yang tidak baik di kalangan masyarakat khususnya menghantar anak ke sekolah tanpa memakai topi keledar sebagaimana yang kerap berlaku pada masyarakat di luar bandar.

Tambahnya, menjadi tanggungjawab JPJ untuk meningkatkan aspek keselamatan jalan raya melalui program advokasi dan pengangkutan yang berterusan. – HARAKAHDAILY 9/8/2024