Bimbang diserang Iran, Hizbullah: Penduduk Haifa gelisah

Pelabuhan Haifa di Israel terletak 138 kilometer dari Lubnan. (FOTO: MNA)
- Advertisement -

TEHRAN: Peneroka haram Zionis, terutama yang berada di sekitar pelabuhan Haifa, berada dalam kegelisahan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai potensi serangan dari Iran dan Gerakan Penentangan Lubnan, Hizbullah.

Warga Israel di Haifa, pelabuhan terbesar di wilayah yang diduduki secara haram, melahirkan kebimbangan bahawa kilang petrokimia mereka, yang mengandungi bahan berbahaya, boleh menjadi sasaran Iran dan Hizbullah, lapor Al Ahed News pada Khamis.

- Advertisement -

Terdahulu, Iran berikrar akan bertindak balas keras terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Gerakan Penentangan Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh, di Tehran pada 31 Julai lepas.

Pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei berkata,  “Rejim Zionis adalah penjenayah dan pengganas yang  mesti menghadapi akibat yang teruk kerana membunuh Ismail Haniyeh, dan adalah ‘tugas kita untuk membalas dendam’ atas kematian syahidnya di bumi Iran.

Pembunuhan itu berlaku tidak sampai sehari selepas Israel membunuh Fuad Shukr, seorang komander kanan tentera Hizbullah, di Beirut; dan sehubungan itu Hizbullah juga telah berikrar untuk bertindak balas.

“Kami sedang duduk di atas tong bahan letupan dan amat bimbang tentang apa yang mungkin berlaku di sini,” kata seorang penduduk Haifa, Ravit Shtossel, seperti yang dipetik oleh agensi berita, Haaretz.

Jarak Haifa dengan Lubnan yang hanya 138 kilometer menyebabkan ia sangat terdedah kepada peluru berpandu Hizbullah. 

Dalam ucapan terbarunya, Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah memberi amaran bahawa ‘penduduk Haifa harus bersedia untuk sebarang senario’.

Sejak pembunuhan berturut-turut di Beirut dan Tehran itu, semua cabang rejim Israel dilaporkan berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Sementara itu, akhbar Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan bahawa sasaran berpotensi untuk Iran dan Hizbullah boleh termasuk pejabat perdana menteri dan kediamannya, pangkalan tentera udara Israel, kemudahan Mossad dan pejabat perkhidmatan perisikan lain. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/8/2024

- Advertisement -