HULU SELANGOR: Hujan lebat yang berterusan sejak jam 11 pagi hingga 3 petang pada 4 Ogos yang lalu telah menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa buah kampung di kawasan Hulu Bernam.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Muiz Mahyudin yang hadir melawat mangsa banjir berkenaan berkata, antara kampung yang terjejas teruk ialah Kampung Selisik, Kampung Serigala, Kampung Sungai Nilam, Kampung Sekolah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Lebar.
Menurut beliau, banjir bukan suatu kejadian yang asing bagi warga Hulu Bernam kerana saban tahun, ia akan berlaku di sini, tetapi banjir pada tahun ini adalah terburuk selepas banjir pada 2014.
“Jika sebelum ini, kenaikan paras air hanyalah mencecah buku lali sahaja atau paling tinggi sehingga ke betis, namun kali ini banjir yang berlaku agak teruk sehingga separas pinggang,” katanya yang juga Exco Pemuda PAS Selangor dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisik, Hulu Bernam.
“Sebagai wakil rakyat di sini, saya sendiri amat memahami kesusahan penduduk yang terpaksa berpindah ke pusat penempatan sementara.

“Bayi, kanak-kanak dan warga emas serta OKU antara mangsa banjir baru ini membuatkan saya hiba dan bertekad, isu banjir ini perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan negeri Selangor.
“Saya bersama-sama agensi kerajaan dan para sukarelawan antaranya Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor dan Hulu Selangor telah segera turun padang menyalurkan bantuan bencana.
“Ia termasuk bergotong-royong membersihkan rumah para penduduk yang terjejas akibat banjir,” ujar beliau.
Muiz menyatakan, beliau amat yakin masalah banjir ini dapat dinoktahkan sekiranya Kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan komitmen serius terhadap penyelenggaraan parit, sungai dan tebing terutamanya yang terdapat di Hulu Bernam.
“Saya telah meninjau saliran yang ada di sekitar kawasan kejadian. Ada yang telah runtuh tebingnya.
“Kedalaman sungai pula perlu dilihat semula adakah telah cetek akibat pembawaan pasir dari hulu.
“Parit-parit di sini juga telah ditumbuhi rumpai dan pokok. Menambahkan lagi kesukaran laluan air ke sungai ketika hujan lebat dan menyebabkan air bertakung di kawasan kampung,” katanya.
Muiz juga menyatakan, ketika sidang Dewan Negeri pada awal Julai baru-baru ini, beliau telah mengutarakan isu parit yang telah lama tidak diselenggara di Hulu Bernam terutamanya di Kampung Serigala, Kampung Selisek dan Kampung Lalang.
“Pokok dan rumpai ‘tumbuh subur’ di dalam parit.
“Pada masa itu juga saya telah membangkitkan soal struktur tebing Sungai Bernam di Kampung South Kinta Consolidated (SKC) kepada kerajaan negeri untuk diberikan perhatian serius.
“Hasil tinjauan saya, tebing sungai tersebut terhakis pada tahap yang sangat kritikal. Sekiranya ban dan tebing sungai ini runtuh, seluruh Kampung Seri Keledang dan sebahagian Kampung SKC pula berisiko untuk banjir seterusnya bakal menjejaskan kira-kira 177 buah rumah,” jelasnya.
Tambah Muiz, pada 8 Disember 2023 lalu, JPS Hulu Selangor telah pun menghantar sepucuk surat bertajuk Penyediaan Cadangan Anggaran Perbelanjaan Bagi Tahun 2024 kepada Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Selangor.
“Berdasarkan jadual senarai projek kecil yang dilampirkan, turutannya diletakkan pada senarai paling atas dan paling utama,” kongsinya.
Namun sehingga kini, ujar beliau, peruntukan bagi kerja-kerja ini masih belum diperoleh.
“Maka saya mendesak kerajaan negeri untuk memberikan komitmen kepada hal ini dengan tindakan segera.
“Justeru, bagi memastikan isu banjir ini dapat ditangani dengan baik, saya bersama warga Hulu Bernam menggesa pihak yang berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Bahagian Pembangunan Luar Bandar dan pihak-pihak yang terlibat.
“(Iaitu) untuk memeriksa dan melakukan kajian jangka panjang terhadap sistem parit dan saliran, serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf struktur tebing dan sistem perparitan bagi mengelakkan masalah banjir yang lebih besar berlaku seperti baru-baru ini dapat dielakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2024