
GUA MUSANG: Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai akan memberi maklumat berkaitan status tanah dimilik agensi kerajaan di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, agensi negeri dan Persekutuan diberi hak milik oleh kerajaan sebelum ini.
Katanya isu pemilikan tanah menjadi modal kempen parti tertentu yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“Kita akan dapat maklumat secara terperinci dan rujuk kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang berkaitan status tanah terbabit.
“Insya-Allah dalam masa sehari dua lagi kita akan maklumkan kepada rakyat,” katanya pada Soal Jawab Set Kito Pertahan Nenggiri disiarkan Kelantan TV malam tadi.
Dr Fadzli juga berkata, di Gua Musang terdapat pelbagai agensi kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab membangunkan tanah serta meningkatkan taraf hidup peneroka termasuk Kesedar, Felda dan Felcra.
Katanya juga ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyampaikan geran kepada rakyat tanpa mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri khususnya pejabat tanah dan jajahan.
“Gua Musang khususnya Nenggiri banyak agensi terlibat termasuk Felda dan Kesedar, isunya ada beberapa tempat kita difahamkan ada orang bagi geran kepada rakyat.
“Jadi kita nak tahu siapa yang bagi geran tu dan adakah dia berhak untuk bagi geran hak milik kepada rakyat, kalau tanah itu tanah negeri hanya negeri yang berhak bagi hak milik,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!