YPU Terengganu sedia pelbagai bantuan kepada usahawan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan pelbagai bantuan untuk pembangunan usahawan menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman bantuan lain daripada agensi-agensi keusahawanan di negeri ini juga disediakan kepada usahawan.

Beliau menyatakan demikian susulan lawatan ke kilang In Saff Food Industries Sdn Bhd di Gong Badak, semalam.

Lawatan itu diadakan bersama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Wilayah Timur yang diwakili oleh pengarahnya, Zaimah Osman dan YPU negeri.

Menerusi catatan di laman sosialnya, beliau berkata lawatan itu bertujuan untuk mendekati dan mendapatkan maklumat berkenaan syarikat, potensi, masalah dan bantuan yang diperlukan daripada kerajaan negeri dan MATRADE. (Foto atas)

“Saya juga telah menerangkan berkenaan bantuan-bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu antaranya Program Sahabat Usahawan YPU dan program-program pembangunan usahawan anjuran YPU dan juga bantuan-bantuan yang lain daripada agensi-agensi keusahawanan di Terengganu,” ujarnya.

Tambahnya, MATRADE Wilayah Timur (MWT) pula telah menerangkan bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh MATRADE dalam membantu syarikat-syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui latihan, program-program pembangunan, padanan perniagaan dan pameran perdagangan antarabangsa.

MWT juga, ujarnya menasihatkan syarikat untuk berdaftar sebagai ahli MATRADE untuk mendapat lebih maklumat dan informasi berkenaan peluang dan maklumat berkenaan pasaran eksport dan permintaan luar negara.

Katanya, In Saff Food Industries Sdn Bhd juga akan menyertai MIHAS 2024 dan INSP MIHAS 2024 selaku pempamer yang akan turut dihadiri beliau selaku Exco Keusahawanan negeri.

Ariffin juga memaklumkan MATRADE juga menjemput In Saff Food untuk turut menyertai pameran MIHAS @ Dubai 2024.

In Saff Food Industries Sdn Bhd adalah sebuah syarikat pengeluar makanan sejuk beku ready to cook (RTC) seperti kambing perap, kepak ayam BBQ dan rempah nasi arab dengan jenama ‘Mudzalifah’.

Syarikat itu ditubuhkan pada 15 Julai 2020 dan telah memperolehi beberapa persijilan antaranya Halal, Mesti dan Cap Dagang (logo ‘Made In Malaysia’).

Buat masa ini, syarikat telah mengeluarkan enam unit simpanan stok (SKU) produk dan akan mengeluarkan satu lagi SKU iaitu Daging Kaw Mudzalifah.

Produk-produk telah dipasarkan ke seluruh negara melalui pengedar-pengedar di Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pahang dan negeri ini. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -