KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perguruan Tinggi Muhammadiyah/Aisyiyah, Indonesia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama pendidikan dan bidang keusahawanan di peringkat antarabangsa.
Kerjasama bersejarah yang dimeterai kelmarin disaksikan oleh 56 rektor.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Arham Abdullah bagi mewakili Naib Canselor UMK, Dato’ Prof Dr Razli Che Razak sementara Perguruan Tinggi Muhammadiyah/Aisyiyah pula diwakili Sekretaris Majelis Pendidikan Tinggi PP Muhammadiyyah Prof Dr Ahmad Muttaqin.
Dr. Arham berkata, MoU itu meliputi aspek kerjasama mobiliti, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan lain-lain kerjasama.
Menurutnya, kerjasama itu menjadi penanda aras kepada usaha pengantarabangsaan UMK dan mercu tanda penting antara kedua-dua institusi terkemuka itu.
“MoU berkenaan antara lain memberi fokus kepada bidang keusahawanan khususnya aktiviti penjanaan pendapatan bagi kedua-dua belah pihak.
“Strategi yang kukuh akan dibincangkan antara rektor dan timbalan rektor bagi penganjuran kursus yang berpotensi untuk menjana pendapatan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, salah satu strategi ialah memperkenalkan penubuhan Pusat Pembelajaran Pesisir UKM Indonesia dengan enam buah universiti awam di Malaysia.
Menurutnya, pakar akademik di Indonesia berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia tanpa perlu ke Malaysia dan melalui kaedah Open Distance Learning (ODL).
Mengulas lanjut, Arham menyatakan komitmen tinggi UMK terhadap aktiviti penyelidikan dengan memperuntukkan geran padanan sebanyak RM500,000 setiap tahun untuk kerjasama tersebut.
Katanya, ketika ini seramai 20 orang pelajar Universitas Muhammadiyah Riau (UMRI) terlibat dengan kerjasama mobiliti dan sedang menjalani aktiviti tersebut di UMK.
Beliau berharap jumlah pelajar yang terlibat dengan mobiliti akan bertambah pada masa akan datang.
“Jumlah pelajar pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dari Indonesia yang telah berdaftar dan melanjutkan pengajian di UMK seramai 78 orang termasuk 35 orang ahli akademik dari UMRI.
“Daripada jumlah tersebut, 14 orang dijangka bergraduat pada tahun 2024/2025,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, kerjasama kukuh itu juga bertujuan untuk memelihara dan mempergiatkan kerjasama, khususnya dalam bidang pendidikan, menekankan kepakaran penyelidikan dan kolaborasi melibatkan pensyarah dan pelajar kedua-dua institusi.
“MoU ini juga membincangkan beberapa insiatif lain seperti pelan tindakan dan garis masa pelaksanaan bagi kerjasama akademik, mobiliti dan penyelidikan antara kedua-dua belah pihak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/8/2024