KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis akan mengkaji semula pembekuan peruntukan pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan perbelanjaan pengurusan mengikut peraturan kewangan sedia ada.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, sebelum ini peruntukan untuk pengurusan pusat khidmat adalah sebanyak RM36,000 setahun, manakala perbelanjaan pengurusan sekitar RM50,000 untuk infrastruktur dan baik pulih.
“Pemberian peruntukan tersebut akan disambung semula secepat mungkin kepada ADUN-ADUN yang terlibat, dijangka sebelum Disember,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15, semalam.
Tambah beliau, peraturan kewangan sedia ada akan dikaji semula untuk penambahbaikan.
“Sebelum ini, peruntukan tersebut diberikan kepada semua ADUN kecuali ADUN Indera Kayangan yang hanya menerima peruntukan pusat khidmat sahaja,” katanya lagi.
Terdahulu, ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, menyuarakan kebimbangan mengenai polisi baharu yang melibatkan pembekuan peruntukan pusat khidmat dan pengurusan ADUN sejak Mei lalu.
Beliau berharap peruntukan tersebut dapat dikembalikan kepada ADUN demi menjaga kebajikan rakyat.
“Saya bangkitkan supaya dipulangkan semula hak itu kepada ADUN untuk menguruskan peruntukan berkenaan memandangkan ia adalah hak rakyat,” katanya.
Mohd Shukri menjelaskan bahawa mengikut tatacara sebelum ini, peruntukan tersebut akan disalurkan mengikut permohonan dari pusat khidmat kepada Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD).
“BPD kemudian akan menyalurkan peruntukan tersebut untuk dilaksanakan dan diuruskan oleh pusat khidmat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/8/2024