Kemalangan babitkan kecuaian manusia membimbangkan

- Advertisement -

KUALA KRAI: Kelantan mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 13,062 kes pada 2023, di mana kemalangan maut sebanyak 327 dan 209 membabitkan kemalangan parah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatakuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kes berkenaan begitu membimbangkan, apa lagi ia berlaku membabitkan kecuaian manusia.

Katanya, bagi Jajahan Kuala Krai, jumlah kemalangan sebanyak 909 kes, di mana kes kemalangan maut 24 kes dan parah sembilan kes.

“Secara amnya, terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca kemalangan jalan raya, seperti keadaan yang tidak selenggara, cuaca serta keadaan jalan raya yang kurang baik.

“Walau bagaimanapun, menurut statistik dan kajian daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), 80 peratus punca kemalangan berlaku akibat kesilapan manusia itu sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Program Inisiatif Penukaran dan Pemberian Topi Kaledar Kanak-Kanak Dan Dewasa Tahun 2024 di Dewan Sri Guchil, di sini hari ini.

Program berkenaan anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya negeri dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri yang turut dihadiri pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah.

Sebanyak 2,650 topi kaledar dewasa dan 361 topi kaledar kanak-kanak akan diagihkan untuk sepanjang tahun ini.

Pada majlis itu, katanya, sebanyak 380 buah topi kaledar telah diagihkan kepada para penerima pelbagai peringkat terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah, sekolah Arab, ahli kariah masjid dan pondok serta masyarakat awam.

“Program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk memberikan kesedaran kepada para pembonceng motosikal yang merupakan golongan yang paling ramai berisiko kemalangan agar dapat mematuhi segala peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -