Kekal Nenggiri bina momentum hadapi PRU16

Calon PN, Mohd Rizwadi Ismail menyantuni masyarakat DUN Nenggiri.
- Advertisement -

GUA MUSANG: Pengundi di DUN Nenggiri perlu menghantar isyarat kepada kerajaan Madani dengan menolak calon BN bagi mengelakkan harga petrol dinaikkan bagi menampung hasil negara.

- Advertisement -

Bukti jelas berlaku sebelum ini di mana selepas calon PH menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Mei lepas harga diesel naik mendadak selepas itu.

Kenaikan itu bermula 10 Jun, di mana Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat kepada RM3.35 seliter berbanding RM2.15 sebelum itu dengan kenaikan sebanyak RM1.20.

Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, kemenangan calon PH-BN pada setiap pilihan raya dijadikan kayu pengukur kerajaan Madani bagi menggambarkan mereka masih disokong rakyat.

Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal

“Hasil sokongan itu membolehkan kerajaan melakukan apa sahaja termasuk menaikkan harga petrol pula seperti dilakukan terhadap diesel pada Mei lepas,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, penolakan rakyat pada setiap PRK menyebabkan kerajaan Madani lebih berhati-hati termasuk menundakan rancangan bagi mengadakan pesempadanan semula kawasan pilihan raya.

Kata beliau, percaturan persempadanan pilihan raya boleh merugikan orang Melayu kerana ia diyakini dicatur berdasar persetujuan ‘abang besar’ mereka iaitu DAP.

“Sekiranya rakyat secara berterusan menolak kerajaan Madani, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berani mencaturkan semula persempadanan kawasan pilihan raya.

“Kalau rakyat masih lagi mahu mengundi Umno bermakna memberi ruang Perdana Menteri meneruskan agenda tersebut yang akan merugikan geopolitik orang Melayu,” ujarnya.

Oleh itu, beliau yakin pengundi di Nenggiri akan memilih calon PN, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti lebih besar bagi menggagalkan usaha kerajaan Madani membentuk acuan politik yang boleh merugikan orang Melayu.

Bagaimanapun kata beliau, keupayaan mempertahankan DUN Nenggiri bergantung kepada kerja kuat jentera termasuk daripada Bersatu, PAS dan Gerakan bagi menarik sokongan rakyat.

“Kita kena bekerja tiga kali ganda untuk memastikan terus kekal di DUN Nenggiri bagi membina momentum menuju Pilihan Raya Umum ke-16,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -