
KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk yang mahu dikenali sebagai, Ahmad kerana membuat aduan berhubung isu pencemaran udara di Kampung Pasir Baru, Semenyih.
ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz, berkata sikap proaktif dan keprihatinan warga seperti beliau amat dihargai penduduk serta dapat menghasilkan impak yang positif kepada komuniti.
“Bermula dengan aduan Tuan Ahmad berkenaan isu pencemaran udara yang menghantui penduduk di sini disyaki berpunca dari kilang haram. Tanpa lengah, aduan tersebut dipanjangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Seterusnya, JAS terus membuat permohonan carian rasmi tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL). Sangkaan penduduk ternyata benar apabila hasil carian di PDTHL mendapati status tanah tersebut adalah tanah persendirian dalam kategori tanah pertanian.
“Semakan juga mendapati premis masih belum mendapat sebarang ulasan Penilaian Awal Tapak dari JAS Selangor berkenaan kesesuaian tapak dan aktiviti industri yang hendak dijalankan,” katanya dalam satu menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Nushi yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) telah menjalankan satu operasi yang melibatkan tindakan penguatkuasaan dan sitaan terhadap premis haram tersebut pada 25 Julai lalu.
“Dalam suratnya, JAS turut kongsikan operasi terdahulu, dikenali sebagai Ops Lusuh yang dijalankan pada 16 Jun 2023 dan 21 Februari 2024 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi seperti JAS, MPKJ, PTDHL, dan Telekom Malaysia.
“Agensi ini adalah usaha untuk membanteras kegiatan kilang haram yang mengancam kesihatan dan keselesaan penduduk serta merosakkan kelestarian alam,” katanya.
Dalam pada itu, Nushi turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JAS yang memberi tindak balas dan kerjasama yang sangat baik terhadap isu ini selepas aduan tersebut telah dibuat.
“Tidak ketinggalan, penghargaan juga kepada semua pihak berkuasa terlibat termasuk MPKJ, PTDHL dan PDRM yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan efektif.
“Ini adalah contoh jelas bagaimana kerjasama semua pihak dapat membawa perubahan positif kepada komuniti kita.
“Teruskan bersiap-siaga dan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan atau merbahaya kepada pihak berkuasa agar kita dapat memastikan Semenyih kita terus sejahtera, selamat dan nyaman untuk didiami,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!