
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dikritik sebagai tidak sensitif dengan perasaan atlet Malaysia apabila memuat naik hantaran meraikan kejayaan pemain badminton perseorangan Thailand, Kunlavut Vitidsarn memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan Hannah Yeoh perlu memikirkan perasaan pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia apabila melihat hantaran yang dibuat itu.
“Pada saat perlawanan getir bertaraf olimpik penuh berprestij begini, Hannah Yeoh sepatutnya mengangkat atlet kita.
“Bukannya mengangkat pihak lawan yang telah menewaskan atlet kita. Seorang ketua yang seolah-olah tidak mengiktiraf pasukan sendiri bahkan mengangkat pasukan lawan.
“Sungguh mengecewakan! Hannah adalah Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia. Bukannya Menteri KBS Thailand,” katanya dalam media sosial miliknya.

Selain itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim turut memberikan respons dengan mengatakan ‘Menteri kena ada ‘common sense…’ terhadap tindakan Hannah memuat naik hantaran tersebut.
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula turut meminta Hannah Yeoh menjaga sensitiviti atlet negara dan lebih penting perasaan penyokong dari kalangan rakyat.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin juga meminta Hannah Yeoh untuk menunggu sukan Olimpik tersebut selesai jika mahu membuat hantaran tersebut.
“Sensitif lah sikit perasaan atlet badminton kita terutama Lee Zii Jia yang bertarung sengit dengan pemain Thailand ini di separuh akhir.
“Ketika Zii Jia kalah dengan pemain ini, boleh tahan juga dia kena kecam.
“Akhirnya Zii Jia bangkit untuk menyumbang gangsa kepada negara,” kata Hanif menghargai jasa Lee Zii Jia memberikan sumbangan pingat kepada negara di Olimpik Paris 2024. – HARAKAHDAILY 8/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!