Hannah Yeoh digesa mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia

Hannah Yeoh di samping Kunlavut Vitidsarn yang dimuat naik Hannah ke dalam media sosial miliknya.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh digesa memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan hantaran yang tidak sensitif yang dimuat naiknya di media sosial meraikan kejayaan pemain badminton perseorangan Thailand, Kunlavut Vitidsarn menang ketika melawan wakil negara Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan tindakan Menteri Belia dan Sukan itu bukan sahaja tidak sensitif kepada wakil badminton negara bahkan juga kepada rakyat di negara ini.

- Advertisement -

“Ini adalah satu sikap yang sangat tidak bagus yang ditunjukkan oleh seorang menteri khususnya menteri yang terlibat secara langsung dengan sukan.

“Jadi, Hannah Yeoh mestilah minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia tak kira mereka peminat badminton ataupun tidak kerana beliau telah melakukan sesuatu yang sangat sensitif yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri khususnya ketika berlangsungnya olimpik di Paris,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Khairul Faizi Ahmad Kamil

Terdahulu, Hannah memuat naik foto beliau bersama Kunlavut dan mengucapkan tahniah atas kemenangan perak yang dimenanginya mengalahkan pemain negara, Lee Zii Jia pada Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi hantaran Instagram.

Kunlavut mengalahkan Zii Jia dalam perlawanan separuh akhir acara perseorangan lelaki. Zii Jia memenangi pingat gangsa pada perlawanan penentuan tempat ketiga manakala Kunlavut terpaksa berpuas hati dengan perak selepas kalah kepada Viktor Axelsen dari Denmark.

Menerusi hantaran berkenaan, Hannah menyatakan rasa kagum terhadap permainan pemain Thailand itu, sekali gus menyebut beliau adalah peminat di hatinya. 

Hantaran itu turut mengundang kecaman dari rakyat negara ini khususnya peminat badminton negara. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -