Gua Musang bukan lagi kubu kuat Umno

- Advertisement -

GUA MUSANG: Biarpun Gua Musang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat Umno sejak berpuluh tahun lalu, namun pola perubahan pengundi dapat dikesan bermula Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

- Advertisement -

Pada PRU14, PAS hampir memenangi DUN Nenggiri apabila calonya Mohd Saupi Abdul Razak hanya tewas majoriti tipis iaitu 461 undi kepada calon BN, Abdul Aziz Yusof.

Pengarah Operasi PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, bermula dari situ kekuatan Umno semakin kendur sehingga DUN Nenggiri, Paloh dan parlimen Gua Musang dimenangi PN pada PRU15.

Katanya, biar pun diakui DUN Nenggiri merupakan kubu kuat Umno sejak berpuluh tahun lalu, namun penyokong Umno tidak begitu fanatik terhadap parti yang mereka dukungi sebelum ini.

Malah kata beliau pada PRU 1990 penyokong Umno pernah meninggalkan parti itu apabila menyertai Parti Melayu Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.

“Pada PRU15 dan PRN ke-15 sekali lagi rakyat Nenggiri menolak Umno dan menyokong PN. Ini bukti jelas rakyat Nenggiri mempunyai tahap kefahaman politik yang tinggi mengikut situasi semasa.

“Keputusan keputusan itu tidak dijangka sama sekali profesor dan badan penyelidik yang membuat kajian sebelum PRU15 dan PRN15 berlangsung,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Beliau memberi respons terhadap kenyataan Khairi Jamaluddin melalui ruangan Keluar Sekejap (KS) yang mendakwa BN PH akan mendahului di DUN Nenggiri memandangkan DUN tersebut kubu kuat Umno dan BN sejak sekian lama. – HARAKAHDAILY 8/8/2024