Dapatkan maklumat, bantuan agensi keusahawanan – Exco

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usahawan perlu mendapatkan maklumat agensi berkaitan untuk mengukuhkan pasaran.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau menggalakkan Syarikat Mamadil untuk terus mendapatkan maklumat dan bantuan daripada agensi-agensi keusahawanan khususnya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Yayasan Pembanguan Usahawan (YPU) bagi mengukuhkan pasaran dalam dan meluaskan pasaran ke luar negara.

Beliau menyatakan demikian susulan lawatan kerja bersama MATRADE dan YPU Terengganu ke Mamadil Hq di Dataran Austin, Kuala Nerus, semalam.

Katanya, beliau bersama MATRADE Wilayah Timur (MWT) yang diwakili oleh pengarahnya telah mengadakan sesi lawatan ke syarikat itu yang bertumpu kepada penjualan makanan kesihatan dan barangan penjagaan kecantikan wanita.  

“Lawatan diadakan susulan penyertaan syarikat dalam Progam Titian Muhibbah bersama-sama kerajaan negeri dan MATRADE pada Mei 2024,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Di samping itu, ujarnya lawatan itu bertujuan untuk mendekati dan mendapatkan maklumat berkenaan syarikat, potensi, masalah dan bantuan yang diperlukan daripada kerajaan negeri dan MATRADE.

Tambahnya, MWT telah menerangkan bantuan dan perkhidmatan yang disediakan dalam membantu syarikat-syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa melalui latihan, program-program pembangunan, padanan perniagaan dan pameran perdagangan antarabangsa.

Katanya, Mamadil yang ditubuhkan pada 2012 telah mempunyai sembilan cawangan di seluruh negara iaitu di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Pahang dan Sabah bagi memenuhi permintaan pengguna tempatan.

“Sehingga kini syarikat ini telah mengeluarkan 17 SKU (stock keeping unit) produk di mana produk yang paling mendapat permintaan daripada pembeli adalah susu berperisa coklat dan vanilla,” ujarnya.

Di samping meneruskan usaha dalam menembusi pasaran melalui persijilan BPOM dan Izin Edar yang telah diperolehi bagi pasaran Indonesia, syarikat juga akan menyertai MIHAS 2024 dan INSP MIHAS 2024 sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan produk mereka ke pasaran antarabangsa. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -