Bintang ‘Super Rich in Korea’ berdepan penjara 10 tahun

Kes David Yong dijadualkan dibicarakan di mahkamah Singapura pada 15 Ogos 2024 (FOTO: Rice Media)
- Advertisement -

SINGAPURA: Bintang program realiti TV popular di Netflix, Super Rich in Korea, David Yong, telah mendapati dirinya menghadapi lebih banyak masalah dengan pihak berkuasa Singapura, yang mendakwanya atas dua pertuduhan penipuan baru pada Khamis.

Ahli perniagaan Singapura berusia 37 tahun itu adalah salah seorang personaliti  yang dilabelkan ‘amat kaya’ muncul sebagai peserta dalam program TV itu, bersama-sama pempengaruh Yoo Hee-ra; personaliti YouTuber dan pempengruh kelahiran Iraq, Noor Naim; dan Teodoro Marani dari Itali, yang bapanya adalah ketua eksekutif dan pereka di belakang label fesyen mewah Henry Beguelin.

- Advertisement -

Yong, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat multinasional Evergreen Group Holdings, didakwa pada hari ini, Khamis (8 Ogos)  di mahkamah daerah, di sini, atas tuduhan  bersubahat dengan seorang wanita, dikenali sebagai Jolene Low Mong Han, dalam memalsukan kertas daripada Evergreen GH dengan niat untuk menipu.

Dokumen mahkamah merujuk kepada Yong sebagai Yong Khung Lin, dan berkata pada Disember 2021, sebagai pegawai Evergreen GH, salah satu syarikat di bawah Evergreen Group Holdings, dia didakwa menghasut Low untuk memalsukan dua invois cukai yang dikeluarkan oleh Evergreen Assets Management pada Mei dan Oktober 2021.

Invois tersebut adalah untuk jualan perabot kepada Evergreen Venture Capital; dan jualan perabot dan perkhidmatan reka bentuk dalaman kepada Tay Ai Chern Pearlrie.

Super Rich In Korea, siri enam bahagian yang dikeluarkan pada perkhidmatan penstriman pada 7 Mei lalu, mempamerkan kehidupan mewah beberapa personaliti yang merangkumi kumpulan  1 peratus individu teratas di Seoul dari segi pemilikan aset kekayaan, yang menjadikan bandar raya itu rumah kedua mereka kerana cinta mereka terhadap budaya Korea.

Program TV itu menampilkan Yong yang tinggal di kondominium mewah yang disewa di Hotel Signiel Seoul, di mana dia mempunyai pelayan-pelayan, perkhidmatan makan dalam bilik, kemudahan golf maya dan tempat letak kenderaan valet. 

Yong mengembara dengan jet peribadi sepanjang muncul dalam program TV  itu dan bercakap tentang kediaman vila empat tingkatnya di Singapura,yang  lengkap dengan lif dan kolam renang.

Terdahulu, media Singapura melaporkan bahawa Yong pertama kali didakwa pada 3 Ogos kerana menghasut Low untuk memalsukan invois cukai bertarikh 1 September 2021, yang dikeluarkan oleh Evergreen Assets Management. 

Invois itu adalah untuk jualan pukal kelengkapan dan perkakas rumah kepada Roy Teo.

Yong telah ditahan reman sejak Sabtu (3 Ogos) lalu; dan pada Khamis (8 Ogos), peguamnya Sunil Sudheesan dari Quahe Woo & Palmer berhujah untuk jaminan dan akses kepada anak guamnya tetapi ditolak kedua-duanya.

Polis Singapura berkata pada Sabtu (3 Ogos) lalu bahawa Jabatan Hal Ehwal Komersial negara itu sedang menyiasat aktiviti perniagaan Evergreen Group Holdings atas tuduhan  penipuan.

Evergreen Group Holdings termasuk Evergreen Grp Holdings, Evergreen GH, dahulunya dikenali sebagai Evergreen Assets Management (Singapura), Everventures.

Polis jug berkata bahawa pelbagai syarikat di bawah Evergreen Group Holdings sedang mengumpul dana melalui penerbitan nota janji hutang yang menjanjikan faedah tahunan sebanyak 10 peratus.

“Siasatan timbul kerana disyaki wang pelabur disalahgunakan. Selain itu, nota janji hutang ini mungkin telah dikeluarkan bertentangan dengan Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan,” tambah kenyataan polis.

Selain Yong, polis berkata mereka telah menahan seorang lagi lelaki berusia 37 tahun daripada pengurusan syarikat tersebut berhubung siasatan itu.

Jika sabit kesalahan bersubahat dengan pemalsuan invois, Yong berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali setiap pertuduhan.

Kes Yong dijadualkan dibicarakan pada 15 Ogos ini. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 8/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -