KUALA TERENGGANU: Tidak timbul isu kononnya kerajaan negeri Terengganu terlalu dan semakin bergantung kepada pemberian Kerajaan Persekutuan.
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar TSIS, Eikhwan Ali berkata, ia dapat dilihat melalui kedudukan sebenar kewangan kerajaan negeri.
Menurutnya, rujukan yang paling tepat ialah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
“LKAN sudah audit secara menyeluruh penyata kewangan kerajaan negeri berbanding belanjawan yang masih bersifat ‘perancangan’. Setakat ini, LKAN yang tersedia ialah sehingga 2022.
“Hasil cukai dan hasil bukan cukai sebenar Kerajaan Negeri Terengganu menunjukkan peningkatan pada tahun 2018 kepada RM283.28 juta, berbanding RM246.04 juta pada tahun 2017.
“Walau bagaimanapun, ia menurun pada tahun 2019 dan 2020 kepada RM247.50 juta dan RM202.03 juta masing-masing. Pada tahun 2021 dan 2022, hasil ini kembali mengukuh kepada RM215.91 juta dan RM292.65 juta masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Mengulas berhubung hak royalti, Eikhwan yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan PAS Terengganu berkata, minyak dan gas adalah anugerah Allah kepada Terengganu, undang-undang diberikan hak kepada negeri ini, sebab itu ia distrukturkan sebagai komponen hasil bagi kerajaan negeri.
Justeru, kata beliau, cara yang betul dalam menanggapi isu itu sepatutnya Kerajaan Persekutuan salah jika tidak membayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu sejumlah wang yang sepatutnya, bukannya Kerajaan Negeri Terengganu salah kerana menerima bayaran tersebut.
“Bacalah LKAN, terimaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan aka Royalti Petroleum yang tinggi atau rendah adalah bergantung kepada peningkatan atau penurunan harga minyak dunia, bukannya kerana Kerajaan Negeri Terengganu mengemis,” katanya.
Kata beliau, peratusan hasil cukai dan hasil bukan cukai sebenar berbanding jumlah hasil sebenar Kerajaan Negeri Terengganu dari 2019 hingga 2022 adalah semakin meningkat.
“Pada 2019 iaitu daripada 9.66 peratus kepada 12.37 peratus (2020), 13.56 peratus (2021) dan 16.45 peratus (2022).
“Dr. Samsuri sasarkan peratusan ini akan meningkat kepada 30 peratus menjelang 2030 nanti. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024