Terengganu Inc., Shizen International, pacu ekonomi hijau projek tenaga solar

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (Mou) antara Terengganu Inc. dan Shizen International Inc. di Kuala Terengganu, Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) telah menandatangani memorandum persefahaman (Mou) dengan syarikat Jepun, Shizen International Inc. bagi meneroka penjanaan tenaga boleh diperbaharui melalui projek loji janakuasa tenaga solar di Terengganu.

Ketua Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, MoU itu akan mengukuhkan komitmen kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dalam melaksanakan kajian kebolehlaksanaan awal tenaga solar secara komersial, menilai potensi pembangunan dan pelaburan bagi kedua-dua pihak.

- Advertisement -

“Termeterainya MoU ini Terengganu Inc berharap kerjasama ini akan dapat merealisasikan hasrat untuk meneroka dan mempelopori potensi ground-mounted solar bagi menggalakkan peningkatan pendapatan negeri melalui ekonomi hijau.

“Perjanjian ini menjadi tanda permulaan usaha Terengganu Inc. dan Shizen International Inc. untuk membolehkan penyertaan Terengganu dalam program CRESS yang dijangka dapat mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara,” katanya dalam majlis menandatangani Mou antara kedua-dua syarikat di Wisma Darul Iman, di sini, pada Rabu.

Majlis menandatangani MoU dari pihak Terengganu Inc. diwakili Burhanuddin Hilmi manakala Shizen International Inc. oleh Ketua Pegawai Operasinya, Ryo Ogawa.

Sementara, saksi perjanjian adalah Timbalan Presiden Kumpulan Strategi dan Perancangan Korporat Terengganu Inc., Khairul Nizam Khalid Mirza, manakala dari pihak Shizen International Inc., adalah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia, Reza Ikram.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Pengarah Eksekutif Shizen, Hiroki Koga berkata, kolaborasi ini berhasrat untuk membawa manfaat positif kepada alam sekitar, mengurangkan pelepasan karbon dan penggalakkan penggunaan tenaga bersih sekaligus menyumbang kepada pendapatan ekonomi tempatan.

“Kerjasama ini dalam usaha memperkenalkan Shizen di pasaran Malaysia selaku peneraju RE yang berpengkalan di Jepun dan berhasat membawa manfaat positif Kelestarian alam sekitar bagi menangani perubahan iklim dan pemanasan global,” katanya.

Sementara, Farok berkata, kerjasama ini dijangka membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengukuhkan profil negeri Terengganu sebagai peneraju ekonomi hijau.

“Pengkormersilan sektor ini akan memberi manfaat pertukaran teknologi, perkongsian tenaga pakar dan pertukaran pengetahuan berkaitan RE di Malaysia selari dengan NETR Roadmaps bagi hala tuju kelestarian tenaga bersih negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -