KUALA LUMPUR: Terdapat tiga empangan menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya sehingga 5 Ogos lalu.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan tiga empangan itu ialah Empangan Muda, Kedah dengan baki stok simpanan semasa air 7.44 peratus, Empangan Bukit Merah, Perak (16.43 peratus) dan Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang (28.2 peratus).
Nadma dalam kenyataan semalam memaklumkan, lima empangan lain menunjukkan baki stok simpanan semasa air mentah berada pada paras amaran iaitu Empangan Air Hitam, Pulau Pinang (32.4 peratus); Empangan Malut, Kedah (37), Empangan Pedu, Kedah (37.02), Empangan Timah Tasoh, Perlis (38.49) dan Empangan Beris, Kedah (53.39).
Untuk rujukan, baki storan 29.99 peratus dan ke bawah adalah bahaya, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal).
Mengenai ramalan cuaca sehingga 12 Ogos, Nadma memaklumkan Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula 17 Mei lalu akan berterusan sehingga September 2024.
Menurut Nadma, semasa MBD, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
Tambah kenyataan itu, ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah dalam tempoh berkenaan.
Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
“Secara amnya, rantau Semenanjung Malaysia dijangka menerima pesongan angin tenggara yang membawa tiupan angin baratan yang lemah sepanjang tempoh ramalan manakala Sabah dan Sarawak dijangka menerima angin lemah dari pelbagai arah dalam tempoh yang sama,” menurut kenyataan itu.
Kata Nadma, pengaruh angin baratan yang bertiup dalam tempoh ramalan masih berpotensi menyebabkan pembentukan garis badai pada awal pagi di pantai barat Semenanjung.
“Manakala angin lemah dari pelbagai arah berpotensi mengakibatkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Kejadian ini dijangka berlaku terutamanya pada lewat petang dan boleh berlanjutan sehingga ke awal malam di Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak,” menurut kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!