KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan dakwaan bekas ADUN Nenggiri, Azizi Abu Naim yang mendakwa tidak menerima sebarang peruntukan sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di Nenggiri.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri diagih pelbagai kaedah termasuk Pejabat Tanah dan Jajahan, Pejabat Exco dan bantuan berkala.
“Sebagai contoh skim bantuan beras al I’tam diagih melalui wakil rakyat dan sekarang ditambah lagi dengan peruntukan lain untuk membantu rakyat.
“Begitu juga berkaitan pembangunan usahawan wanita turut disalur kepada setiap wakit rakyat. Jadi saya tidak boleh fikir macam mana Mohd Azizi kata dia tidak dapat peruntukan.
“Kalau tak dapat menunjukkan dia mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Bekas ADUN Nenggiri pada kenyataan media semalam mendakwa beliau dinafikan hak mendapat peruntukan kewangan ketika berkhidmat sebagai Adun Nenggiri.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, menjadi agenda kerajaan negeri menyalurkan peruntukan pembangunan dan kebajikan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.
“Itu tidak betul, sangat-sangat tidak betul, kecuali dia seorang sangat tidak peka kepada rakyat, sebab peruntukan kita beri kepadanya sebagai wakil rakyat yang mewakili Bersatu.
“Kerajaan negeri beri peruntukan seperti disebut Menteri Besar bukan sahaja kepada wakil rakyat kerajaan tetapi turut melibatkan pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!