KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sebenarnya terlepas pandang bahawa jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan kepada Sabah tidak boleh disamakan dengan pemberian wajib biasa kepada negeri-negeri lain (selain Sarawak).
Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sabah, Dr. Ronald Kiandee berkata, nilai RM16 bilion yang dinyatakan tersebut seharusnya diberikan, namun pemberian wajib 40 peratus di bawah Perkara 112C masih tetap dan perlu diberikan kepada Sabah selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan dan Sabah perlu sentiasa menjunjung serta mematuhi Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin suatu Persekutuan yang terus adil, bermanfaat bersama di samping menjaga kepentingan negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM16 bilion kepada Sabah yang mana nilai tersebut adalah bagi jumlah keseluruhan peruntukan kepada Sabah dan bukan hanya untuk perbelanjaan pembangunan sahaja.
Perdana Menteri turut dilaporkan menyatakan bahawa peruntukan RM16 bilion tersebut termasuk peruntukan sekolah, pendidikan untuk anak-anak, serta penjagaan sempadan.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, peruntukan RM16 bilion tersebut sememangnya merupakan tanggungjawab Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan Perdana Menteri sebenarnya tidak menjawab kepada isu yang perlu dijawab iaitu pemberian wajib 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“Secara mudahnya, setiap negeri dalam Persekutuan perlu menerima hak wajib peruntukan kewangan di bawah Perkara 109, manakala bagi Sabah dan Sarawak terdapat peruntukan wajib tambahan iaitu di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.
Beliau memetik Perkara 109 Perlembagaan yang menyatakan antara lainnya pemberian wajib kepada negeri-negeri adalah seperti berikut; (a) Geran Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) di bawah Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pemberian Bilangan Orang 2002; (b) Geran Pemberian Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) di bawah Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan; serta (c) Geran Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup di bawah Perkara 109(6) Perlembagaan Persekutuan
“Selanjutnya pemberian peruntukan kewangan di bawah Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan tersebut perlu juga mematuhi kehendak di bawah Bahagian I, II dan III Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Bagi Sabah pula tambahnya, selain peruntukan wajib dalam Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan, perlu diberikan peruntukan wajib 40 peratus seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C di Bahagian IV dan V Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan yang mana peruntukan tersebut perlu dikaji semula setiap lima tahun di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, ia gagal dilaksanakan Kerajaan Persekutuan setakat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024