Penganjur protes mahu Muhammad Yunus jadi PM Bangladesh

Muhammad Yunus (FOTO: Bloomberg)
- Advertisement -

DHAKA: Penganjur utama protes pelajar di Bangladesh mahu pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus harus mengetuai kerajaan sementara selepas Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan dan lari meninggalkan negara itu.

Menerusi satu hantaran video di media sosial, Nahid Islam, 26, seorang pelajar sosiologi yang menerajui gerakan protes terhadap kuota dalam pekerjaan kerajaan yang kemudiannya berubah menjadi kebangkitan nasional terhadap pentadbiran Hasina berkata, Yunus telah bersetuju untuk mengambil alih pemerintahan negara itu, lapor Al Jazeera.

- Advertisement -

“Kami menggesa presiden mengambil langkah secepat mungkin untuk membentuk kerajaan sementara yang diketuai oleh Yunus.

“Kami telah memberikan darah kami, mati syahid, dan kami harus memenuhi janji kami untuk membina Bangladesh baharu.

“Tiada kerajaan selain yang dicadangkan oleh pelajar akan diterima. Seperti yang telah kami katakan, tiada kerajaan tentera, atau kerajaan yang disokong oleh tentera, atau kerajaan fasis, akan diterima,” katanya menerusi video tersebut.

Terdahulu Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin pada Selasa (6 Ogos) mengumumkan bahawa parlimen telah dibubarkan selepas memberi jaminan sebelum ini bahawa pilihan raya baharu akan diadakan secepat mungkin.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat yang diadakan antara penganjur protes dan ketua tentera negara berkenaan.

Sehubungan itu, Muhammad Yunus, 84, telah dinamakan sebagai ketua penasihat kerajaan sementara yang dicadangkan. 

Dikenali sebagai ‘dari jurubank kepada orang miskin’, beliau menerima Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2006 selepas mempelopori pinjaman mikro dan dikreditkan kerana membantu mengeluarkan berjuta-juta rakyat Bangladesh daripada kemiskinan dengan menyediakan pinjaman kecil.

Beliau telah menghadapi tuduhan rasuah di Bangladesh dan dibicarakan semasa pemerintahan Hasina, tetapi berjaya mengekalkan pertuduhan terhadapnya sebagai bermotifkan politik. -Agensi/– HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -