NRW Perlis menurun, ‘We Care’ beri impak positif

- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam Negeri, Izizam Ibrahim berkata, kadar air tidak berhasil (NRW) di Negeri Perlis mengalami penurunan kepada 60.73 peratus dari 62.48 peratus pada tahun lepas.

- Advertisement -

Menurut Izizam, penurunan itu direkodkan hasil daripada usaha gigih melalui program ‘We Care’ yang dilancarkan pada awal tahun 2024.

“Program ini menyaksikan Syarikat Air Perlis (SAP) bertindak secara agresif untuk membaiki kebocoran paip air yang dikesan,” katanya ketika menjawab soalan dari Saad Seman (PN-Chuping) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Terdahulu, Saad meminta penjelasan berkaitan peratus air terbuang yang dapat diatasi Syarikat Air Perlis (SAP) sejak tahun 2022 sehingga kini.

Menurut Izizam, peratus keseluruhan  menunjukkan kadar NRW mencatatkan 61.5 peratus pada tahun 2022, 62.48 peratus pada tahun 2023 dan menurun kepada 60.73 peratus sehingga Jun 2024.

“Untuk menurunkan kadar NRW lebih drastik, peruntukan yang besar diperlukan. Namun, dengan keadaan kewangan SAP yang defisit sekarang, program NRW secara holistik tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Izizam menambah, SAP terus mengambil langkah proaktif dengan memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Negeri.

Beliau berharap dengan bantuan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kadar NRW di Negeri Perlis dapat terus diturunkan, memberi manfaat kepada rakyat Negeri Perlis.

“Kami berharap usaha ini akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat Negeri Perlis, khususnya dalam memastikan bekalan air yang lebih efisien dan terjamin,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -