KUALA LUMPUR: PAS menggunakan pendekatan politik Islam iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang merupakan sebuah idea yang optimis dalam mengimbangi kestabilan pelbagai konflik dalam berpolitik.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Iskandar Puteri, Abu Talhah, berkata pendekatan ini mengutamakan kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan yang seterusnya membawa kepada kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat di negara ini.
Katanya lagi, ia bertunjangkan prinsip tetapi tetap menganjurkan politik dakwah secara hikmah.
“Terdapat tujuh ciri utama BPMS dan satu diantaranya adalah Politik Damai dan Diplomasi. Pendekatan aman dan diplomasi dalam menangani sesuatu isu adalah penting bagi mengelak konflik fizikal dan berpanjangan yang merugikan semua pihak.
“Sikap saling hormat menghormati dan berperaturan dalam melayani perbezaan pendapat dapat mengelak budaya konfrontasi dan tuduh menuduh antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kaedah Muwaajahah Silmiyyah (mendepani lawan secara aman) turut menjadi kaedah PAS Pusat dalam membawa kefahaman politik Islam.
“Ia mendidik masyarakat agar memulakan pendekatan damai dan hanya menjadikan pendekatan yang lebih agresif sebagai tindakan terakhir sekiranya diperlukan,” ujarnya.
Beliau berkata, PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asas.
“Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.
“Amat malang ketika mana rakan-rakan di dalam pakatan konon di atas nama perpaduan bergaduh, rakan yang lain tidak berusaha menjadi pendamai sebaliknya memilih untuk menjaja cerita pertelagahan.
“Rakyat Malaysia terutama di Johor telah matang dalam berpolitik dan dapat menilai yang mana satu kumpulan intan, permata dan kaca. Perhatikan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024