KANGAR: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, reputasi kewangan Yayasan Islam Perlis (YIPs) pulih selepas menjual pegangan saham dalam Perlis Specialist Hospital Sdn Bhd (PsSH) kepada Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd (KPJSB).
Menurut beliau, tindakan itu diambil selepas menerima teguran dari Jabatan Audit Negara (JAN) berkenaan prestasi kewangan PsSH.
“YIPs memutuskan untuk memperuntukkan rosot nilai dalam penyata kewangan dan melepas pegangan saham bagi menunjukkan kesungguhan dalam memastikan pelaburan berbaloi dan menghasilkan pulangan.
“Kami mengambil langkah ini untuk tidak membiarkan status ketidaktentuan agihan dividen berlarutan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Terdahulu, Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) mengemukakan soalan mengenai pertimbangan dan faktor yang dinilai oleh YIPs sebelum memuktamadkan keputusan tersebut, serta implikasi positif dan negatif tindakan itu.
Menurut Mohd Shukri, keputusan itu turut mengukuhkan aliran tunai semasa YIPs sekali gus membolehkan mereka menyelesaikan komitmen dengan pihak perbankan dan agensi kerajaan.
“Operasi kewangan YIPs adalah secara tanggungan sendiri atau ‘self finance’,” ujarnya lagi.
Sementara itu katanya, penjualan saham itu juga membuka peluang kerjasama baru dan pelaburan dalam sektor-sektor yang mempunyai potensi pulangan lebih terjamin seperti peruncitan, perdagangan, perbankan, dan saham.
“Kami melihat ini sebagai peluang untuk terus maju ke depan selari dengan matlamat penubuhan YIPs,” tambahnya turut menekankan kewujudan bangunan PsSH menjadi mercu tanda kerjasama yang berjaya kedua pihak.
Menurut ADUN Sanglang itu juga, kerjasama antara YIPs dan KPJSB telah meletakkan Perlis seiring dengan negeri-negeri lain yang menyediakan perkhidmatan hospital pakar.
“YIPs telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan sebuah hospital pakar sebagai alternatif kepada institusi seumpamanya di Perlis.
“Penjualan ini tidak hanya menunjukkan keseriusan YIPs dalam pengurusan kewangan tetapi juga membuka peluang kepada pelaburan baru yang lebih menguntungkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!