Kelantan sasar 61 pingat di SUKMA Sarawak 2024

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 510 atlet Kelantan akan menyertai Sukan Malaysia ke-21 (XXI) SUKMA yang akan berlangsung di sembilan lokasi di Sarawak.

- Advertisement -

Lokasi terbabit iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Mukah, Bintulu, Sibu dan Miri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, kontinjen Kelantan akan menyertai 31 acara sukan daripada 38 acara keseluruhannya.

Katanya, untuk edisi kali ini, pihak pengurusan meletakkan sasaran 61 pingat keseluruhannya iaitu 16 pingat emas, 14 perak dan 31 gangsa.

“Sasaran tersebut diletak berdasar keyakinan setiap pengurus pasukan melalui prestasi semasa atlet masing-masing.

“Insya-Allah sekiranya kita dapat memberi yang terbaik, mungkin jumlah pungutan pingat lebih tinggi,” katanya pada majlis perasmian Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kelantan ke SUKMA Sarawak di Putik semalam.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Zamakhshari berkata, penyerahan bendera itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa makna lambang maruah dan kebanggaan negeri Kelantan.

“Ia adalah simbol tanggungjawab yang akan digalas para pegawai dan atlet kita dalam mengharumkan nama negeri di temasya SUKMA,” katanya.

Menurutnya juga harapan kerajaan negeri begitu tinggi supaya semua atlet yang bertanding dapat memberi yang terbaik untuk Kelantan.

Beliau turut mengingatkan atlet sentiasa berdisplin sepanjang temasya terbabit berlangsung.

Sementara itu, Menteri Besar mengingatkan kontinjen supaya melakukan yang terbaik untuk negeri dan rakyat Kelantan.

“Buat yang terbaik, jangan putus asa dan banyakkan berdoa. Anak Kelantan perlu menjadi contoh yang terbaik di dalam dan di luar padang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024