KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu sedang menunggu kaedah pelarasan gaji penjawat awam yang akan diumumkan oleh kerajaan pusat pada minggu depan, sebelum menentukan kadar kenaikan gaji di peringkat negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, kerajaan negeri biasanya akan mengikuti langkah kerajaan pusat dalam melaksanakan kenaikan gaji untuk penjawat awam.
“Sekarang ini, kita dengan menteri besar belum ada perbincangan lagi. Kita akan tengok pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri pada 16 Ogos ini.
“Kalau ikut sejarah yang dulu-dulu pun apa yang diputuskan kerajaan pusat selalunya kita ikut. Dulu gaji SSP (Sistem Saraan Perkhidmatan), SSM (Sistem Saraan Malaysia), SSK (Sistem Saraan Kakitangan) tidak ikut lagi.
“Rasanya kalau kita tidak ikut ramai penjawat awam negeri Terengganu akan marah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis menandatangani perjanjian (MOU) antara Terengganu Inc dan Shizen International Inc di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Mengulas mengenai implikasi kewangan yang akan dihadapi, beliau berkata, kesan kenaikan itu akan dirasai bukan sahaja di Terengganu, malah turut berlaku di negeri lain.
“Semua negeri kakitangan negeri di bayar oleh negeri jadi semua akan menerima impak ini. Insya-Allah, kita akan cuba tengok cara yang terbaik untuk kita sama-sama (selesaikan).
“Kerajaan persekutuan pun bila dia umum kenaikan gaji ini saya rasa impak yang besar juga kepada kerajaan pusat. Jadi sama,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan gaji adalah langkah positif untuk rakyat, khususnya penjawat awam dalam menghadapi situasi ekonomi semasa.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Dis tahun ini. – HARAKAHDAILY 7/8/202