KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard mendakwa, FELCRA Berhad (FELCRA) dalam proses mewujudkan entiti baharu syarikat usahasama bagi memiliki kilang-kilang di bawah syarikat itu.
“Mereka mengoptimumkan untung dan mengenepikan pembangunan masyarakat, maka kemungkinan besar pekerja tempatan akan digantikan dengan pekera asing,” dakwanya dalam satu sidang media di depan Wisma Felcra, di sini, hari ini.
Menurut Chegubard lagi, untuk itu semua kilang-kilang di bawah FELCRA yang terbabit dikatakan perlu menyerahkan tapak kilang masing-masing kepada syarikat usahasama yang bakal dibentuk itu.
“Agak meragukan apabila FELCRA menjual kilangnya kepada sebuah syarikat yang berstatus tidak aktif melalui CTOS dan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); dan syarikat tersebut berdepan dengan masalah kewangan,” dakwa Chegubard.
Selain itu juga, Chegu Bard mendakwa bahawa melalui syarikat usahasama itu, FELCRA hanya pemegang minoriti dan syarikat pemegang majoriti yang akan membuat keputusan.
Melalui usahasama ini, FELCRA hanya dijanjikan RM1.5 juta setahun yang sebelum ini ada beberapa kilang yang dapat mendatangkan keuntungan yang lebih jauh.
“Draf perjanjian syarikat baru ini tiada exit plan; dan ini akan mengenepikan khidmat sosial dan kepentingan masyarakat,” dakwa Chegubard lagi yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (Peta).
Walau bagaimanapun tambah beliau, satu surat terbuka telah diserahkan kepada wakil Pengerusi FELCRA Berhad bagi mendesak penjelasan mengenai penjualan kilang sawit yang dikhuatiri merugikan syarikat itu sendiri.
“Dalam pada itu, Peta telah menyerahkan beberapa set dokumen yang menunjukkan FELCRA dalam proses menjual kilang-kilang tersebut,” katanya.– HARAKAHDAILY 7/8/2024