Apa yang berlaku di United Kingdom?

Rusuhan, demonstrasi, kekacauan dan kekecohan yang kini berlaku di United Kingdom (UK) sudah adalah yang terburuk dalam tempoh 13 tahun lalu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rusuhan, demonstrasi, kekacauan dan kekecohan yang berlaku di United Kingdom (UK) sudah berada di luar kawalan dan merupakan tragedi yang teruk dalam tempoh 13 tahun.

Pemerhati politik, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, perkara itu bermula apabila seorang imigran telah bertindak menyerang satu kelas tarian kanak-kanak dan menikam mangsa  sehingga tiga kanak-kanak terbunuh dan 10 orang cedera di Southport. 

- Advertisement -

“Si pelaku itu berumur 17 tahun. Ikut undang-undang UK, bila pelaku bawah 18 tahun, identiti si pelaku akan dirahsiakan. 

“Yang menjadikan benda ini kecoh bila ada orang politik dan penyokong English Defence League (EDL) iaitu satu organisasi kanan ekstrem pimpinan Tommy Robinson, telah memuat naik berita palsu kononnya si pelaku adalah individu Muslim.

“Ini akhirnya menyebabkan penyokong EDL keluar beramai-ramai dan menyerang masjid, kedai, restoran dan individu imigran. Polis turut diserang oleh penyokong EDL.

“Dari satu lokasi di Southport, sekarang dah merebak ke seluruh UK,” katanya dalam media sosial miliknya.

Dalam pada itu menurutnya, pihak mahkamah juga sudah memberikan kebenaran untuk didedahkan nama si pelaku tersebut untuk mengelakkan perkara itu merebak dengan lebih teruk.

Katanya, rupanya si pelaku adalah bukan orang Islam tetapi berketurunan Afrika berdasarkan pendedahan daripada mahkamah.

“Keadaan jadi makin teruk, EDL menyasarkan pula imigran berkulit hitam, Asia dan semua harta benda mereka. 

“Pendek kata, kalau  bukan British, potensi kena serang (di UK) memang tinggi,” jelas beliau.

Namun yang menarik menurut beliau, penduduk tempatan bergandingan dengan masyarakat orang Islam di UK bagi mempertahankan masjid daripada diserang. 

Contohnya di Southport, selepas kejadian itu, (penduduk) tempatan British turun dan baiki semula masjid.

“Pihak polis sememangnya tak mampu nak leraikan penyokong EDL. 

“Pemuda Muslim di semua tempat sekarang ni turun beramai-ramai dan pertahankan kawasan mereka. Maka potensi berlaku pertembungan sangat tinggi,”  jelas beliau.

Sehubungan itu, tambahnya, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia adalah negara pertama yang mengeluarkan amaran perjalanan kepada pelancong dan rakyat Malaysia yang menetap di UK. 

“Gambar yang saya  kongsikan itu, adalah keadaan dekat bawah (rumah) flat seorang rakyat Malaysia di UK. 

“Adapun saya dan sekeluarga alhamdulillah selamat. Kami sedang bercuti di Malaysia sekarang ini. Harap ketika dah balik UK nanti, keadaan dah reda. 

“Kepada rakyat Malaysia diUK, kekal selamat  dan kekal berwaspada.  Doakan mereka semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -