KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan 12 negeri sehingga 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataanya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu Perlis; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Negeri Sembilan di Jelebu; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Baling, Kulim dan Bandar Baharu); dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah).
“Selain itu, kawasan di Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar dan Muallim); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub dan Bentong); Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Mersing); dan Terengganu (Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman).
“Seterusnya, kawasan di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat); dan Sarawak di Kuching (Bau dan Lundu), Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah dan Miri (Marudi).
“Sementara itu, Sabah di Pedalaman (Nabawan dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan dan Penampang) dan Sandakan (Sandakan),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024