Vape: Hindari mudarat, banteras gejala kerosakan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Gejala menghisap rokok elektronik atau vape khususnya dalam kalangan anak muda seolah-olah tidak terkawal lagi, malah lebih membimbangkan budaya itu telah merebak kepada para pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

- Advertisement -

Kata Pegawai Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera (YKS), Ammar Farhan
trend tersebut amat merbahaya, malah boleh mempengaruhi rakan sebaya yang kini dilihat tanpa mengira jantina, lelaki mahupun perempuan.

“Ia berpunca daripada media sosial yang memaparkan gaya hidup kononnya ‘cool’ dengan mengambil rokok elektronik ini dan mudah mempengaruhi anak-anak muda termasuk pelajar sekolah,” kata beliau.

Namun dalam masa yang sama tegas Ammar, penghisap vape ini sebenarnya terdedah kepada penyakit sawan yang kritikal apabila mengambilnya dengan kadar berlebihan.

“Baru-baru ini pelajar tingkatan empat mengalami sawan kritikal akibat menghisap rokok elektronik jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.

“Magic mushroom ini merupakan cecair yang dicampurkan dadah sintetik, kesannya lebih teruk daripada dadah jenis methamphetamine dan syabu,” tegas beliau.

Mengulas lanjut katanya, menurut data dari Menteri Dalam Negeri, seramai 145,000, pada 2023 telah mengunakan bahan magic mushroom tersebut dengan 71 peratus daripadanya dicampur dadah sintetik.

“Kita mendengar pada awal kemunculan rokok elektronik ini ada yang memberi alasan kononnya sebagai ikhtiar meninggalkan tabiat menghisap rokok tembakau.

“Vape pula dakwa mereka, rokok yang lebih sihat kerana tidak menggunakan tembakau sebagai sumber penghasilan asap.

“Tetapi dakwaan dan alasan itu sebenarnya tidak tepat, tiada kajian saintifik yang membuktikan vape adalah rokok yang lebih sihat,” tambahnya lagi.

Sebaliknya penghisap vape katanya, berisiko mengalami kecederaan paru-paru atau ‘E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI).

Sementara katanya lagi, menurut laporan Surgeon General, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat pada 2020 dan diperkuat dengan laporan teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan penggunaan vape tidak berkesan dalam membantu perokok menghentikan ketagihan mereka.

“Tahun lalu, seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dilaporkan maut, disyaki akibat Evali. Siasatan juga mendapati beliau tidak mempunyai sejarah penyakit sekadar menghisap vape selama tiga tahun,” ujar beliau.

Perkembangan luar negara juga tegas beliau, merisaukan malah Kerajaan Britain mengumumkan akan menutup kelemahan undang-undang yang membolehkan peruncit memberikan sampel vape secara percuma kepada kanak-kanak.

Oleh itu katanya lagi, kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) rentas kementerian khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat diperlukan bagi memastikan trend penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah dapat diatasi. – HARAKAHDAILY 6/8/2024