KUALA TERENGGANU: Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) telah menyalurkan pembiayaan kepada 4,963 usahawan peruntukan RM28 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman menyatakan demikian susulan merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran TUGAS kali ke-2/2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, hari ini.
Menurutnya, majlis penyerahan surat tawaran pada hari ini adalah merupakan peringkat kedua untuk tahun 2024.
Tambah beliau, ia melibatkan seramai 31 orang usahawan yang telah berjaya dalam permohonan pembiayaan TUGAS.
“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu yang telah memainkan peranan yang penting dalam memacu pembangunan usahawan di negeri ini.
“Sejak dilancarkan skim TUGAS ini pada 2019 sehinggalah sekarang, ianya telah berjaya menyalurkan pembiayaan kepada seramai 4,963 orang usahawan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM28 juta,” ujarnya yang juga ADUN Alur Limbat.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan borang permohonan pembiayaan, usahawan boleh terus hadir ke YPU Terengganu. – HARAKAHDAILY 6/8/2024