Sidang DUN hanya setengah hari, sukar ketengah isu rakyat

- Advertisement -

SEREMBAN: Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan ke -15 yang berlangsung hanya setengah hari menyukarkan wakil-wakil rakyat untuk menyuarakan masalah rakyat.

- Advertisement -

Kamarol Ridzuan Md Zain (PN-Paroi) berkata, persidangan yang dijadualkan selama tiga hari dipendekkan hanya kepada setengah hari sebaik selesai pembentangan Enekmen Perbekalan Tambahan Pertama Tahun 2024.

“Untuk Enekmen Perbekalan Tambahan itu kami tidak ada masalah untuk setuju. Kami tidak ambil bahagian kerana kami memikirkan tak ada masalah untuk perkara itu.

“Kami sudah bersedia untuk perbahasan isu-isu rakyat untuk persidangan seterusnya, tetapi tidak dapat dilakukan sebab telah ditangguhkan,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Tambahnya, walaupun pihak kerajaan berjanji untuk memberikan jawapan bertulis terhadap semua soalan-soalan jawab lisan hari-hari yang berikutnya, namun jawapan bertulis kurang memberi kesan.

“Soalan-soalan jawab lisan itu penting sebab banyak isu-isu rakyat yang akan dibangkitkan. Dalam soal jawab lisan kita boleh bertanya balik pada kerajaan. Ia lebih berkesan.

“Perkara ini berlaku secara mengejut seolah-olah mereka tidak berani menjawab soalan-soalan itu secara lisan di dalam Dewan,” katanya.

Kamarol yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata, beliau bersama-sama rakan-rakan ADUN PN yang lain sudah menyediakan bahan-bahan perbahasan untuk menyentuh banyak isu rakyat.

“Banyak isu tempatan kita nak bangkitkan, antaranya isu berkaitan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, isu pencemaran sungai berkaitan SAINS (Syarikat Air Negeri Sembilan) di kawasan Port Dickson. Air Sungai Linggi,” katanya.

Terdahulu dalam sidang DUN semalam, beliau bangkit mempersoalkan tindakan Speaker yang menangguhkan Persidangan Dewan di bawah Peraturan 16 berkaitan ‘Penangguhan Mesyuarat’.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dalam alasannya berkata, persidangan ditangguhkan lebih awal kerana terdapat dua lagi enekmen yang dijadual untuk dibentangkan.

Namun beritahunya, tidak dapat dibentang kerana belum mendapat perkenan Tuanku Yamtuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat.

Perkara yang sama juga berlaku pada persidangan DUN pada sesi sebelum ini apabila persidangan ditamatkan sehari awal daripada jadual asal. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -