Rebut peluang di sebalik ketidakpastian geopolitik, ekonomi

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Dalam era ketidakpastian, negara dengan pelbagai latar belakang agama, etnik, dan budaya harus tidak hanya bersedia menghadapi cabaran, tetapi juga perlu proaktif dalam merebut peluang yang ada,” kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian mengulas berhubung pandangan peribadinya mengenai ketidakpastian dalam geopolitik dan ekonomi.

“Ketidakpastian dalam geopolitik dan ekonomi ini boleh memberi kesan yang signifikan terhadap perancangan ekonomi dan sesuatu keputusan yang perlu dilakukan bagi sesebuah perniagaan, kerajaan, malah kepada individu.

“Antara persoalan yang timbul, ‘adakah terdapat penyelesaian mudah untuk menghadapi ketidakpastian ini?’ Bagi saya, tiada penawar cepat atau penyelesaian tunggal untuk isu-isu ini.

“Secara ideal, jika kita dapat menyelesaikan setiap ketidakpastian tersebut, maka masalah akan selesai. Namun, hidup ini tidak ideal kerana kebanyakan perkara berada di luar kawalan kita sebagai manusia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Justeru, Samsuri berkata, kerjasama daripada semua pihak akan memperkukuh kekuatan, lebih bersatu dan makmur.

“Bersama-sama dengan kerjasama pemimpin serantau dan global, penyelidikan, kumpulan pemikir dan rakan antarabangsa, kita akan mampu membina Malaysia yang berdaya tahan untuk berdiri teguh di pentas global. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!