KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengunjungi veteran politik, Dato’ Mustafa Ali atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Pa di kediaman anaknya di Kuala Ibai, di sini.
Wan Hassan berkata, banyak nasihat, jasa dan bimbingan Cikgu Pa sepanjang penglibatannya bersama PAS Dungun.
“Cikgu Pa dahulunya pernah menjadi Ahli Parlimen Dungun dan memegang amanah sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1999 sehingga 2004.
“Sejak tahun 1990 beliau bersama dengan PAS Dungun dan dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Wan Hassan turut menyampaikan satu pesanan penting dari Cikgu Pa mengenai cara untuk menyatukan ahli PAS iaitu dengan mematuhi pimpinan.
“Bagaimana kita nak menyatukan PAS… ‘jangan tinggal syura. Apa keputusan yang dibuat mesti wala’ pada pimpinan’; maksudnya tidak ada sesiapa pun yang dapat bertahan jika menentang parti.
“Beliau mengingatkan ahli PAS supaya jangan mencabar kewibawaan pimpinan atau perlembagaan yang telah ditetapkan oleh parti kerana kedudukan seseorang itu akan tenggelam atau akan hilang pengaruhnya jika dipecat dari menjadi ahli PAS,” ujarnya.
Turut hadir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman, Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Harian PAS Kawasan Dungun, Ajk Dewan Muslimat PAS Kawasan Dungun, Ajk Assabiqun PAS Kawasan Dungun dan Lajnah Arkib PAS Kawasan Dungun.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Pa kerana telah banyak membimbing dan memberi nasihat kepada wakil kunjungan khususnya PAS Kawasan Dungun.
“Terima kasih sekali lagi diatas kesudian menerima kunjungan kami. Didoakan semoga Cikgu Pa diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” katanya.